Kedudukan Pengerusi, CEO TM kekal sehingga pengumuman PM

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 1, 2019 11:06 MYT
GUAN ENG: Sebarang urusan berhubung isu lantikan dalam TM itu mesti datang secara langsung daripada PM dan bukan daripada sumber kedua atau ketiga. - BERNAMA/Fail
Kedudukan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Telekom Malaysia Bhd (TM) kekal sehingga pengumuman pelantikan dilakukan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, perubahan dalam kedudukan kedua-dua jawatan berkenaan hanya akan dibuat selepas menerima surat rasmi daripada Dr Mahathir.
Tegasnya, sebarang urusan berhubung isu lantikan dalam TM itu mesti datang secara langsung daripada PM dan bukan daripada sumber kedua atau ketiga.
"Jawatan Pengerusi dan CEO yang dilantik oleh Kementerian Kewangan adalah selepas mendapat surat dan catitan daripada Perdana Menteri sendiri. Sehingga kini, arahan belum diterima daripada Perdana Menteri bagi pertukaran, maka jawatan Pengerusi dan CEO TM masih orang sama," katanya semasa sidang media di Perpustakaan Digital Pulau Pinang di sini pada Sabtu.
Beliau mengulas laporan bertajuk "Telekom CEO standoff" oleh The Edge Financial Daily pada Jumaat.
Laporan yang memetik sumber itu mendakwa, Pengerusi TM, Rosli Man enggan meneruskan pelantikan pemangku CEO, Imri Mokhtar bagi menggalas tugas itu walaupun pelantikan beliau telah diluluskan oleh pemegang saham khas TM, Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Bagaimanapun, TM dalam kenyataan kepada Bursa malaysia pada Jumaat memaklumkan, Rosli telah menerima permintaan daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk menangguhkan pelantikan CEO kumpulan itu selain telah memaklumkan Lembaga Pengarah mengenai permintaan PMO tersebut pada awal Mac lalu.
#ceo tm #Lim Guan Eng #pengerusi tm #Perdana Menteri #Telekom Malaysia #TM Berhad #Tun Mahathir