KUALA LUMPUR: Dalam usaha negara melandaikan peningkatan kes harian COVID-19, kedudukan tenaga buruh pada bulan Jun lepas berdepan cabaran susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh pada bulan berkenaan dengan hanya sektor ekonomi dan perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bilangan penduduk bekerja pada bulan berkenaan menurun sebanyak 0.5 peratus kepada 15.30 juta orang, berbanding Mei 2021 iaitu 15.37 juta orang, dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk jatuh 0.4 mata peratus kepada 65 peratus.

Dalam Statistik Tenaga Buruh Malaysia, Jun dan suku kedua tahun 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini beliau berkata, jumlah penduduk yang bekerja sendiri pula mencatatkan pertambahan sebanyak 4,100 orang kepada 2.50 juta orang, berbanding 2.49 juta orang pada Mei 2021.

Beliau berkata sebahagian daripada tenaga buruh telah beralih kepada kumpulan tidak aktif yang membawa kepada penurunan dalam tenaga buruh kepada 16.07 juta orang berbanding Mei 2021 iaitu 16.10 juta orang dan penurunan itu adalah yang pertama direkodkan sejak April 2020 berikutan pandemik yang melanda negara.

Menurutnya kadar pengangguran di Malaysia meningkat kepada 4.8 peratus pada bulan Jun melibatkan seramai 768,700 orang, berbanding 4.5 peratus yang melibatkan 728,100 orang pada bulan sebelumnya.

Merujuk kepada prestasi keseluruhan bagi suku kedua 2021, Mohd Uzir berkata bilangan tenaga buruh berkurang sebanyak 36,100 orang kepada 15.97 juta orang berikutan penurunan bilangan penduduk bekerja dan penganggur.

Beliau berkata lima negeri yang merekodkan kadar pengangguran tertinggi pada suku kedua 2021 adalah Labuan dengan 8.8 peratus diikuti Sabah (8.7 peratus), Perlis (5.3 peratus), Kelantan (4.8 peratus) dan Selangor (4.4 peratus).

-- BERNAMA