NATIONAL
Kedutaan Malaysia di Seoul nasihatkan berwaspada menjelang keputusan Mahkamah Korea Selatan
Kedutaan Malaysia di Seoul menggesa rakyat Malaysia di Korea Selatan agar bertenang menjelang keputusan Mahkamah Perlembagaan mengenai pendakwaan ke atas Presiden Yoon Suk Yeol pada 4 April ini. - Foto fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Kedutaan Malaysia di Seoul mengeluarkan nasihat kepada rakyat Malaysia di Korea Selatan, menggesa mereka agar bertenang dan berwaspada menjelang serta selepas keputusan Mahkamah Perlembagaan mengenai pendakwaan ke atas Presiden Yoon Suk Yeol pada 4 April ini.
"Dijangkakan demonstrasi berskala besar akan berlangsung dengan peningkatan kehadiran pihak keselamatan, terutama di kawasan seperti Dewan Negara di Yeouido, Dataran Gwanghwamun dan Mahkamah Perlembagaan di Jongno, Pejabat Presiden di Samgakji serta Kediaman Presiden di Hannam-dong.
"Rakyat Malaysia dinasihatkan agar mengelak kawasan protes dan berhati-hati jika berada di sekitar perhimpunan berskala besar," menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Instagram kedutaan.
Kedutaan turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan terus mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Menurut kedutaan, pihaknya akan terus memantau situasi dengan teliti serta menyediakan maklumat terkini bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia di negara itu.
Bagi mendapatkan maklumat serta bantuan segera, rakyat Malaysia digalakkan untuk mendaftarkan kehadiran mereka melalui e-Konsular atau menghubungi kedutaan sekiranya berlaku kecemasan.
Kedutaan boleh dihubungi melalui talian +82-2-2077-8600 (Talian Am) dan +82-10-8974-8699 (selepas waktu pejabat, hujung minggu, serta cuti umum), e-mel mwseoul@kln.gov.my atau di alamat 129, Dokseodang-ro, Hannam-dong, Yongsan-gu, Seoul.
-- BERNAMA