Kedutaan AS serah sumbangan PPE, kit ujian pantas kepada KKM

Umavathi Ramayah
Mac 10, 2021 09:44 MYT
Brian McFeeters berharap sumbangan itu dapat membantu petugas barisan hadapan serta melindungi mereka semasa menjalankan tugas. - Gambar Kedutaan AS
KUALA LUMPUR: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia hari ini menyerahkan sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) dan kit ujian pantas atau rapid test kit COVID-19 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Duta Besarnya, Brian McFreeters berharap sumbangan itu dapat membantu petugas barisan hadapan serta melindungi mereka semasa menjalankan tugas.
Sambil menzahirkan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan, McFreeters memberitahu, AS dan Malaysia mempunyai sejarah kerjasama yang erat membabitkan isu kesihatan awam.
"Kami di kedutaan AS sentiasa komited untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dan pegawai kesihatan ketika berdepan dengan pandemik COVID-19 mahupun pada fasa pemulihan dalam membina keupayaan kesihatan yang lebih kukuh pada masa-masa akan datang," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Bercakap mengenai bantuan kesihatan termasuk COVID-19 global, McFeeters berkata, sejak dua dekad yang lalu, AS menyumbangkan lebih AS$140 bilion (RM577 bilion).
"Sumbangan terbesar AS adalah untuk program Akses Global Vaksin COVID-19 (COVAX).
"Memandangkan ini adalah krisis kesihatan global, AS memperuntukkan AS$4 bilion (RM16.5 bilion) sehingga 2022 untuk COVID-19 dengan sebahagian daripada diberikan kepada COVAX," katanya lagi.
Ini menjadikan AS sebagai penyumbang terbesar kepada usaha yang dijalankan COVID-19.
#Kedutaan Amerika Syarikat #Kementerian Kesihatan #COVAX #COVID-19 #sumbangan #vaksin #kesihatan awam