KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di sini menerima memorandum daripada penganjur Himpunan Al-Quds yang diserahkan oleh Sekretariat Palestin Malaysia (SPM) hari ini.
Jurucakap SPM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, secara lazimnya memorandum yang dihantar sebelum ini hanya dimasukkan ke dalam peti surat kedutaan.
Advertisement
Difahamkan, memorandum tersebut diserahkan kepada salah seorang pegawai yang bertugas di kedutaan pada petang tadi.
“Kami dibenarkan masuk ke dalam pos pengawal dan pihak kedutaan bersama beberapa pegawainya hadir untuk menerima memorandum.
“Dia turut menyatakan rasa hormat terhadap kebebasan bersuara serta menyatakan penghargaan kerana himpunan yang dianjurkan berjalan dengan aman,” katanya ketika ditemui pemberita semasa himpunan hari ini.
Tiga pemimpin politik turut mengiringi Mohd Azmi, iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Khalid Samad.
Antara perkara yang terkandung dalam tuntutan memorandum itu ialah supaya tiada sekatan dikenakan terhadap umat Islam untuk memasuki Masjid Al-Aqsa di Palestin, selain menggesa agar perang di Gaza dihentikan serta peluasan wilayah oleh rejim Zionis Israel di Tebing Barat disekat.
Memorandum itu juga membidas sebarang usaha mendorong pertukaran rejim melalui peperangan, selain menggesa supaya penyaluran senjata kepada pihak militan dihentikan serta menuntut penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa.
Mohd Azmi turut menyuarakan gesaan agar serangan yang dilakukan oleh AS dan Israel terhadap Iran dihentikan.
“Dia (wakil kedutaan) berjanji untuk menyerahkan memorandum ini kepada Presiden AS, Donald Trump,” katanya lagi.
Beliau turut menyatakan memorandum tersebut akan disebarluaskan kepada pemimpin politik Malaysia serta badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Himpunan yang bermula pada jam 2 petang di perkarangan Menara Tabung Haji itu disokong oleh 55 NGO pro-Palestin, melibatkan ratusan peserta, dan berakhir tepat jam 4 petang tadi.