KUALA LUMPUR:Bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sekali lagi meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk berkongsi data mentah COVID-19 kepada kerajaan-kerajaan negeri.

Beliau berkata, ia bagi memastikan langkah lebih efektif dapat dikenal pasti bagi menangani pandemik itu.

Jelas Pengerusi Selangor Task Force for COVID-19 (STFC) itu lagi, keengganan pihak KKM berkongsi data berkenaan, menyebabkan Kerajaan Negeri seolah-olah ‘bertinju’ dalam keadaan mata tertutup dan tangan terikat.

“Umpamanya kalau kita bertinju, umpama mata kita ditutup, tangan kita diikat. Data sharing ini adalah sangat penting dan ia bukan data sharing bersabitan dengan data peribadi.

“Yang kita katakan, ini adalah data anonymous. Kita tidak kenal pun siapa (pesakit), kerana ia masih dalam Akta Perlindungan Data Peribadi (PDP), Akta Kesihatan…itu kita tiada pertikaian.

"This is the way moving forward, maaf kalau saya katakan. Ini adalah jalan keluar untuk kita mengatasi rebakan gelombang ketiga ini dengan berkesan. Dan saya harapkan perkara ini dapat diperhatikan dan dipertimbangkan, dan segera dilaksanakan.

“Ini juga yang diminta surat terbuka sejumlah pakar kesihatan kepada Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), dan saya harap perkara ini dapat diperhalusi dan diambil tindakan segera," katanya lagi.

Dalam sidang Parlimen November lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, pihak Kementerian enggan berkongsi data mentah COVID-19 dengan pihak lain termasuk Kerajaan Negeri Selangor.

Dalam jawapan bertulisnya di Parlimen, Dr Adham mendakwa tafsiran berbeza terhadap maklumat ini boleh menyebabkan kekeliruan dan orang ramai menjadi panik.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly mengakui ada masanya Kerajaan perlu mengambil tindakan drastik seperti kaedah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan ataupun Bersasar.

Namun, jelas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu lagi lagi, perkara itu perlu diperhalusi dengan sebaik mungkin bagi memastikan ia lebih efektif dalam menangani pandemik itu.

Ujarnya lagi, Selangor telah mencadangkan beberapa perkara yang bersifat proaktif, berbanding tindakan reaktif seperti yang dilaksanakan sekarang.

“STFC mutakhir ini mengesyorkan satu program proaktif (bukan reaktif) iaini Program POIS atau 'Preventing Outbreak at Ignition Site’ (POIS) atau 'Mencegah Tercetus Perebakan di Tapak-Tapak Penularan'.

“POIS merupakan kerjasama pintar 3-Penjuru (Tripartite Partnership) secara sukarela (voluntary), antara "Kerajaan Negeri-Majikan-NGO", dimana tumpuan utama diberikan termasuk menjalankan saringan berkala di semua kilang dan tempat kerja (termasuk tapak-tapak binaan),” katanya lagi.


COVID-19 | Selangor catat kes tertinggi