MALAYSIA

Kehadiran ejen risikan asing di Malaysia meningkat susulan pendirian tegas PM dalam isu Palestin - Fahmi

Hasimi Muhamad 24/08/2025 | 05:10 MYT
Fahmi berkata, aspek keselamatan negara tidak pernah dikompromi, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menjalankan pemantauan rapi. -Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kehadiran ejen risikan asing di Malaysia dilaporkan semakin meningkat susulan pendirian tegas dan konsisten kerajaan, terutamanya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam menyuarakan penentangan terhadap genosid di Gaza.


Ringkasan AI
  • Kehadiran ejen risikan asing di Malaysia meningkat susulan pendirian tegas Perdana Menteri dalam isu Palestin, menurut Menteri Komunikasi.
  • PDRM dan MKN sedang memantau aktiviti elemen asing secara berterusan, namun keselamatan negara masih terkawal.
  • Malaysia terus komited memperjuangkan keadilan untuk Gaza dan menerima sokongan antarabangsa termasuk dari Jepun.


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, walaupun perkara itu menjadi cabaran kepada keselamatan negara, Malaysia tidak akan berganjak dan gentar dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin.

Fahmi turut memaklumkan bahawa pendirian Perdana Menteri dalam isu Palestin menjadikan beliau antara pemimpin paling lantang di Asia Tenggara, sekali gus menarik perhatian pelbagai elemen asing.

“Benar kalau kita baca kenyataan daripada Ketua Polis Negara baru-baru ini ada peningkatan ada aktiviti elemen asing.

“Ini dalam pemantauan pihak berkuasa dan tindakan daripada pihak berkuasa memang berterusan untuk menjamin keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Gaza Time Tunnel (VR) di Dataran Merdeka, di sini, bersempena Karnival Sumud Nusantara 2025.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Peruncimgan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Sani Araby dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia dan Ketua Pengarah Projek Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, aspek keselamatan negara tidak pernah dikompromi, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menjalankan pemantauan rapi.

Katanya, kerajaan sentiasa menerima taklimat berkala, termasuk melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung perkembangan keselamatan semasa.

Bagaimanapun, ujar beliau, keadaan keselamatan dalam negara masih terkawal.

“Tetapi kita tidak boleh pandang ringan kerana pegangan kita adalah secara berprinsip, bukan emosi.

“… dan ia adalah pendirian yang sama sejak sekian lama, cuma bezanya sekarang Perdana Menteri sendiri berjaya mengubah pendirian beberapa pemimpin negara lain.

"yang kita nampak ada seperti (perubahan sokongan dari negara luar). Alhamdulillah ada satu kesan yang sangat positif,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Jepun, antaranya, masih kekal dengan pendirian untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam usaha membangunkan semula Gaza.

Karnival Sumud Nusantara 2025 merupakan anjuran bersama MAPIM dan Cinta Gaza Malaysia, dan dinaungi Perdana Menteri, yang juga Penaung Sumud Nusantara.

Ia turut disokong Menteri Komunikasi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Naim Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Kemuncak pada malam ini akan berlangsung Malam Himpunan dan Selawat – MalaysiaKu Bersama Gaza, yang dijangka dihadiri lebih 100,000 pengunjung.








#Anwar Ibrahim #Fahmi Fadzil #Palestin #ejen risikan asing #pendirian tegas