MALAYSIA

Kehadiran pemimpin dunia ke Sidang Kemuncak ASEAN, keselamatan sekolah antara fokus Dewan Rakyat hari ini

Bernama 23/10/2025 | 01:40 MYT
Menurut takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan peringkat dasar diadakan lapan hari hingga 28 Okt, manakala perbahasan peringkat jawatankuasa selama 14 hari bermula 5 hingga 27 Nov. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Senarai kehadiran pemimpin negara dan pertubuhan antarabangsa ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 serta pencapaian utama Kepengerusian ASEAN-Malaysia antara fokus perbahasan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan itu diajukan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) kepada Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Beliau juga ingin tahu sejauh manakah persiapan akhir yang diambil oleh kerajaan dapat menjamin kelancaran keseluruhan program di saat Malaysia bakal menjadi tumpuan dunia.

Pada sesi sama, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) meminta Perdana Menteri menyatakan langkah kerajaan dalam meningkatkan usaha sekolah serta mengukuhkan kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa, komuniti setempat dan agensi keselamatan bagi menangani isu keselamatan dan kesejahteraan murid di peringkat akar umbi.

Pada sesi soal jawab pula, Datuk Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) meminta Perdana Menteri menyatakan status terkini laporan insiden lubang benam di Jalan Masjid India yang berlaku pada Ogos tahun lepas.

Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) pula meminta Menteri Pertahanan menyatakan berikutan skandal Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO), apakah langkah yang akan diambil untuk mewujudkan proses perolehan yang lebih telus dan akauntabiliti bagi strategi pertahanan negara

Sementara itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengajukan soalan kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengenai persediaan bagi menghadapi kejadian gempa bumi terutamanya bagi kawasan yang tidak pernah mengalaminya.

Beliau juga ingin tahu langkah pemberitahuan awal kepada masyarakat untuk bersedia dan tindakan pencegahan bagi mengawal kejadian itu menjadi bertambah buruk.

Selepas sesi soal jawab, mesyuarat Dewan Rakyat akan diteruskan dengan sambungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2026) peringkat dasar yang memasuki hari keenam, setelah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Okt lepas.

Menurut takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan peringkat dasar diadakan lapan hari hingga 28 Okt, manakala perbahasan peringkat jawatankuasa selama 14 hari bermula 5 hingga 27 Nov.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis ini.

-- BERNAMA

#Dewan Rakyat #Sidang Kemuncak ASEAN #keselamatan sekolah #Parlimen