Kehadiran ribuan penyokong bukti rakyat mahu Najib terus memimpin negara

Bernama
Oktober 5, 2015 06:56 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan orang ramai sejurus tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA setelah mengadakan lawatan kerja ke Milan dan New York. - Foto BERNAMA
Kehadiran lebih 1,000 orang menyambut ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dari lawatan kerja ke Milan dan New York di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini membuktikan pemimpin nombor satu negara itu mendapat sokongan padu rakyat.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kehadiran ribuan penyokong itu jelas menunjukkan rakyat tetap mahukan Najib terus memimpin negara ini.
"Selain itu, kehadiran pemimpin Barisan Nasional (BN) dan anggota kabinet bagi menyambut ketibaan Najib merupakan simbolik sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perdana menteri untuk terus menerajui kepimpinan negara dan BN.
"Ia juga menunjukkan perdana menteri masih mendapat sokongan parti. Inilah masa untuk kita bersatu, bermuafakat kerana kita sedang melalui banyak cabaran," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata kehadiran penyokong serta barisan kepimpinan negara itu dengan sendirinya menepis tuduhan serta dakwaan bahawa perdana menteri tidak mempunyai sokongan kuat.
"Orang boleh buat macam-macam tuduhan dan kritikan. Tapi kekuatan kita tetap di peringkat akar umbi yang datang hari ini," kata Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO.
Turut senada dengan Hishammudin ialah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan yang menyifatkan kehadiran penyokong itu satu isyarat kepada orang luar yang cuba mengganggu gugat parti.
"Ramai orang ini isyarat bahawa perdana menteri ada sokongan kuat dan bila kuat dia boleh tangani ekonomi dengan mantap," katanya.
Penyokong-penyokong yang begitu bersemangat menyambut ketibaan pemimpin nombor satu negara itu tiba di perkarangan kompleks itu seawal 7 pagi.
Mereka turut memegang sepanduk dan kain rentang tertera "Selamat Pulang Wira Negara dan Keamanan Sejagat", "Najib Razak Pejuang Keadilan Terhadap Palestin dan Umat Islam", "Allah Selamatkan Najib, Allah Selamatkan Palestin" dan "PM Najib Help Palestine, Save Syrian Refugees, We Are With You".
Pesawat khas yang membawa perdana menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor mendarat di Kompleks Bunga Raya pada 9.55 pagi.
Najib mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Milan mulai 2 Okt bagi meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Itali dan sebelum itu beliau berada di New York, Amerika Syarikat untuk menghadiri Sesi Ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada 1 Oktober.
#ketibaan #KLIA #Kompleks Bunga Raya #Najib Razak #Perdana Menteri #Salleh Said Keruak