[LAPOR LANGSUNG] 9 rakyat Malaysia ditahan rejim Israel
MALAYSIA

Kehadiran Trump ke ASEAN-47 penting untuk keseimbangan diplomasi

Pia Ernadya 08/10/2025 | 13:15 MYT
Mohamad Hasan bersama Prof Mohd Faiz pada majlis pelancaran buku berjudul Strategic Shift: Preparing Malaysia for a Turbulent Future di ibu negara, pada Rabu. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Dasar luar Malaysia sentiasa dilaksana berasaskan keperluan untuk terus berhubung secara diplomatik dengan semua pihak berkepentingan.

Justeru, Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Prof Mohd Faiz Abdullah menyifatkan kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 sebagai satu keperluan dalam usaha mengekalkan keseimbangan diplomasi strategik negara.

“Ia bukan soal terlalu bergantung kepada Amerika Syarikat, tetapi realiti yang kita hadapi.

"Dalam buku saya, saya jelaskan dengan jelas bahawa kita perlu mengimbangi antara keperluan melaksanakan diplomasi strategik dan memastikan kita tidak bergantung sepenuhnya kepada mana-mana pihak. Itulah keseimbangan yang sedang kita usahakan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran bukunya berjudul Strategic Shift: Preparing Malaysia for a Turbulent Future di ibu negara, pada Rabu.

Tambahnya, jemputan kepada Trump merupakan sebahagian daripada tanggungjawab Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

“Malaysia kini mempengerusikan ASEAN. Kita bercakap tentang Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-AS. Ia bukan semudah seperti mengambil pendekatan ‘maaf, anda tidak dijemput’, kerana itu bukan cara diplomasi berfungsi,” tegasnya.

Terdahulu, Datuk Prof Mohd Faiz Abdullah melancarkan bukunya Strategic Shift: Preparing Malaysia for a Turbulent Future yang disempurnakan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam ucapannya, Mohamad menyifatkan buku tersebut bukan sekadar analisis strategik, tetapi satu cabaran kepada rakyat Malaysia untuk berfikir secara kritikal mengenai kedudukan negara dalam sistem dunia yang sedang berubah dengan pantas.

"Kita sedang berada dalam era di mana susunan antarabangsa berubah dengan pantas.

"Institusi semakin lemah, peraturan sering diketepikan, manakala pergantungan ekonomi yang dahulunya menjadi pemangkin pertumbuhan kini digunakan sebagai alat tekanan," katanya.



#ASEAN25 #Mohamad Hasan