[TERKINI] DUN Sabah Dibubar — PRN Ke-17 Bermula! Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Kehadiran Trump ke Malaysia peluang suarakan isu kemanusiaan Gaza

Ernalisa Othman 06/10/2025 | 04:50 MYT
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN berkewajipan menjemput semua negara rakan dialog ASEAN demi menjamin prinsip berkecuali dan pemusatan ASEAN terus terpelihara, kata Mohamad Alamin. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri menegaskan, jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur hujung bulan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, dan bukan atas dasar hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN berkewajipan menjemput semua negara rakan dialog ASEAN demi menjamin prinsip berkecuali dan pemusatan ASEAN terus terpelihara.

“Kehadiran Trump adalah sebahagian daripada protokol dan tanggungjawab Malaysia dalam kapasiti sebagai Pengerusi ASEAN. Jemputan itu dibuat atas dasar multilateralisme, bukan hubungan satu lawan satu,” katanya di Dewan Rakyat semasa menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, hari ini.

Beliau menambah, sidang kemuncak itu akan digunakan sebaik mungkin untuk menyuarakan kegusaran Malaysia dan ASEAN terhadap isu kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza serta memperkukuhkan kerjasama rantau ini dengan Amerika Syarikat.

“Insya-Allah, kita akan manfaatkan kesempatan ini untuk menyampaikan kebimbangan berkaitan isu Palestin dan pada masa yang sama mengukuhkan hubungan strategik antara ASEAN, Malaysia dan Amerika Syarikat. Keutamaan kita adalah melihat usaha global yang lebih konkrit ke arah kemerdekaan Palestin dan bantuan membina semula Gaza,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Malaysia melihat Pelan Damai 20 Perkara yang diumumkan Trump pada 29 September lalu sebagai satu peluang ke arah gencatan senjata dan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Arahan Presiden Trump untuk menghentikan serta-merta serangan Israel ke atas Gaza adalah perkembangan yang kita alu-alukan. Ia memberi harapan baharu untuk menyekat genosid, memulihkan kemusnahan dan membuka akses kepada bantuan kemanusiaan,” ujarnya lagi

Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa perkara dalam pelan itu yang perlu dikaji dengan teliti kerana masih terdapat ruang kelemahan yang membimbangkan banyak pihak.

Menurut beliau, kerajaan Malaysia kekal yakin dengan pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Wisma Putra yang komited untuk bekerjasama dengan AS dan negara-negara lain seperti Qatar dan Mesir dalam mencari penyelesaian yang adil dan menyeluruh terhadap konflik Palestin-Israel.



#ASEAN #jemputan Donald Trump #Donald Trump ke Malaysia #isu Gaza #Mohamad Alamin