[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Kehadiran Trump perlu dilihat dalam konteks politik serantau, bukan polemik semasa - Saifuddin

Faida Rahim 30/09/2025 | 03:45 MYT
Menurut Saifuddin, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia membawa suara konsensus 10 negara anggota. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 perlu dilihat secara matang dalam konteks politik serantau dan bukan semata-mata dari sudut polemik semasa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia membawa suara konsensus 10 negara anggota dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir sebagai wakil rantau Asia, bukan hanya mewakili Malaysia.

“Perdana Menteri adalah ketua kepada satu rantau yang mempunyai 680 juta penduduk dengan ekonomi yang besar dan stabil. Beliau akan menyampaikan suara Asia di hadapan pemimpin dunia termasuk dari Amerika, China, India, Russia dan Brazil,” katanya.

Mengulas kritikan segelintir pihak terhadap jemputan kepada Trump, Saifuddin berkata, perbincangan luar yang mempertikaikan kehadiran pemimpin itu perlu ditangani dengan kefahaman yang lebih luas, termasuk dari sudut agama.

“Dalam al-Quran, Nabi Musa diperintahkan untuk berdepan dengan firaun, pemimpin paling kejam dalam sejarah, dengan bahasa yang lemah lembut. Ini menunjukkan bahawa pendekatan bersemuka adalah penting untuk menyampaikan kebenaran,” katanya.

Saifuddin turut menegaskan, kehadiran Trump memberi peluang kepada Malaysia dan ASEAN untuk menyuarakan pendirian tegas terhadap dasar yang menyokong kekejaman, termasuk terhadap rakyat Palestin.

“Jihad paling besar ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim. Kalau kita tidak engage, bagaimana kita nak sampaikan mesej?” katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri Bagi Bulan September 2025 di Kementerian Dalam Negeri, di sini, pada Selasa.

Dalam masa sama, beliau berkata, Malaysia sebagai tuan rumah telah membuat persiapan rapi untuk menyambut kehadiran pemimpin dunia, dan akan memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang acara berlangsung.

Mesyuarat Kepengerusian ASEAN 2025 dijangka menjadi platform penting bagi perbincangan isu serantau dan global, dengan kehadiran pemimpin dari pelbagai negara.

Sebelum ini, beberapa pihak menyuarakan bantahan kehadiran Trump di ibu negara, bulan depan, sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, susulan dokongan AS terhadap kekejaman Israel di Palestin.

Terbaharu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa kerajaan menarik balik jemputan kepada Trump, susulan tindakan AS yang terus membekalkan dana, senjata dan bantuan ketenteraan kepada Israel, yang digunakan untuk meneruskan pembunuhan rakyat Palestin.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar semalam menegaskan, Malaysia akan menggunakan platform diplomasi berkenaan untuk terus menyuarakan isu Palestin dan membidas tindakan pihak yang mempertikaikan jemputan itu.

Kata Anwar, Malaysia perlu bijak berunding dan mengekalkan suara yang tegas dalam mempertahan kebenaran, namun, dengan cara berstrategi.





#Amerika Syarikat #Donald Trump #Saifuddin Nasution #Sidang Kemuncak ASEAN ke-47