Kejadian gajah mati tidak sepatutnya berulang - Mohd Shafie

Bernama
Februari 11, 2020 21:32 MYT
Mohd Shafie berkata antara langkah yang perlu diambil dalam menangani kejadian gajah mati ini adalah melibatkan renjer untuk membolehkan pengawasan dari segi pengawal penguatkuasaan dilakukan. -Foto Astro AWANI
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan kejadian gajah ditemukan mati di negeri ini tidak sepatutnya berulang dan ia harus ditangani dengan pendekatan yang sesuai.
"Saya sedih mendengar ada lagi gajah ditemukan mati..saya sudah beritahu pada mesyuarat kabinet sebelum ini bagaimana keadaan ini berlaku," katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi e-dompet kerajaan negeri "Sabah Pay" di Kota Kinabalu, pada Selasa.
Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai dua gajah betina Borneo ditemukan mati, masing-masing satu di ladang kelapa sawit di Sukau, Kinabatangan pada Sabtu lepas dan Hutan Simpan Deramakot Sandakan, pada Isnin.
Ini merupakan penemuan kedua dan ketiga bangkai gajah pada tahun ini selepas penemuan bangkai gajah pertama di Lower Kinabatangan pada bulan lepas, dipercayai ditanam oleh syarikat penanaman sawit.
BACA: Dua gajah betina ditemui mati
BACA: Gajah jantan ditemui mati di Sukau
BACA: Lagi gajah mati ditemui di Bakapit, Lahad Datu
Mohd Shafie berkata antara langkah yang perlu diambil dalam menangani kejadian gajah mati ini adalah melibatkan renjer untuk membolehkan pengawasan dari segi pengawal penguatkuasaan dilakukan.
"Kita tidak tahu penyebab gajah ini mati, mungkin bukan sahaja disebabkan pembunuhan semata-mata... mungkin disebabkan minum air di sungai yang ada (dicemari) toksik baja (ladang kelapa sawit)," katanya dan menambah beliau belum menerima laporan lengkap mengenai kes terbaharu penemuan bangkai gajah itu.
-- BERNAMA
#gajah #gajah mati #kabinet #Kinabatangan #Kota Kinabalu #laporan #mati #menteri #minum air sungai #Mohd Shafie Apdal #penguatkuasaan #renjer #Sandakan #sawit #toksik baja