Kejadian paip pecah sebabkan gangguan bekalan air masih dalam siasatan - WCE

Bernama
Mei 8, 2019 22:53 MYT
Kerja-kerja membaik pulih paip utama yang pecah giat dilakukan di tapak Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping pada Rabu. Foto BERNAMA
Insiden berkaitan isu tiga paip utama pecah di tapak projek pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping di Klang dekat sini Sabtu lepas, masih dalam siasatan.
West Coast Expressway Sdn Bhd (WCE) dalam kenyataan pada Rabu berkata siasatan pihaknya bersama pihak perunding geoteknikal belum selesai.
"Bagaimanapun berdasarkan siasatan awal, kegagalan struktur tembok 'Reinforced Soil Wall' di jajaran WCE dipengaruhi oleh faktor-faktor perubahan sifat tanah di kawasan terlibat dan tidak berkaitan dengan rekabentuk dan pembinaan WCE," menurut kenyataan itu.
BACA: Gangguan air di Klang: 44 kawasan mulai pulih, 21 lagi secara berperingkat
Menurutnya sementara itu WCE akan menyediakan lori-lori tangki air untuk membekalkan bekalan air di beberapa lokasi yang terjejas bagi menyokong pihak Air Selangor mengurangkan kesusahan yang dihadapi oleh penduduk di kawasan yang terlibat.
Sebelum ini, 65 kawasan di daerah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas tiga paip utama di kawasan pembinaan lebuh raya itu pecah sejak Sabtu lepas.
#gangguan air Klang #gangguan bekalan air #Klang #Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat #paip utama pecah #WCE #West Coast Expressway