Kejadian pokok tumbang punca laluan LRT Ampang dan Sri Petaling terjejas

Astro Awani
April 12, 2021 15:57 MYT
RapidKL memaklumkan kerja-kerja pembersihan trek dan pemeriksaan akan berjalan sepanjang malam ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Proses mengeluar dan memindahkan penumpang dari gerabak tren LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling yang tergendala akibat kejadian ribut petir yang melanda ibu negara petang tadi, selesai kira-kira jam 10.20 malam ini.
Menerusi satu kenyataan, RapidKL memaklumkan kerja-kerja pembersihan trek dan pemeriksaan akan berjalan sepanjang malam ini.
"Kerja-kerja mengeluar dan memindahkan penumpang mengambil masa yang lebih lama daripada biasa atas sebab-sebab keselamatan kerana risiko yang dibawa oleh angin ribut, hujan dan petir yang berlaku pada masa itu.
“Pasukan penyelamat kami telah dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat; serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia bagi menguruskan kerja-kerja pemindahan ini," jelas kenyataan itu pada Isnin.
Rapid KL juga menyediakan perkhidmatan bas perantara di samping meneruskan perjalanan tren menggunakan landasan yang tidak terjejas oleh kejadian ribut berkenaan.
Penumpang yang terjejas oleh gangguan perkhidmatan ditawarkan kupon bayaran balik yang boleh dituntut di semua kaunter LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling
Perkhidmatan tren antara laluan Chan Sow Lin menuju ke Cheras dan Maluri ke Pandan Jaya tergendala susulan 13 pokok tumbang dan menimpa trek sekitar Stesen Maluri, Pandan Jaya, Chan Sow Lin dan Cheras, yang terletak di atas tanah (at grid).
#RapidKL #LRT #Cheras #Ampang #sri petaling #Pokok tumbang #laluan Ampang #ribut petir