Kejayaan diplomatik Malaysia bukti komitmen terhadap perjuangan Palestin

Anwar sebaik tiba pada Himpunan "Sumud Nusantara: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka” di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil baru-baru ini. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pertubuhan tidak berasaskan keuntungan Global Peace Mission (GPM) Malaysia memuji ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempertahankan Palestin serta pendirian beliau terhadap perjuangan kemanusiaan dan keadilan sejagat.
Presiden GPM Mohd Khairul Anwar Ismail berkata kenyataan Perdana Menteri pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza dan menerusi pembentangan Belanjawan 2026 semalam mencerminkan iltizam kerajaan untuk terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin.
Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap kejayaan diplomatik kerajaan yang berjaya membawa pulang rakyat Malaysia yang ditahan rejim Zionis selepas menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) baru-baru ini.
"Kejayaan ini membuktikan keupayaan Malaysia memainkan peranan aktif dan berwibawa di peringkat antarabangsa melalui diplomasi berprinsip dan berperikemanusiaan serta memperlihatkan solidariti dunia terhadap perjuangan kemanusiaan untuk Gaza."Ia juga menandakan keberhasilan pendekatan diplomasi MADANI yang menggabungkan ketegasan moral, kecekapan diplomatik dan keberanian kemanusiaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairul Anwar berkata kekuatan Malaysia dalam memperjuangkan nasib Palestin terletak pada pendekatan inklusif yang menggabungkan peranan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), institusi agama, komuniti pendidikan dan masyarakat sivil.
Pada masa sama, GPM mencadangkan Wisma Putra selaku penyelaras utama Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) mengaktifkan semula platform Ops Ihsan sebagai mekanisme penyelarasan rasmi bagi semua NGO Malaysia yang terlibat dalam misi bantuan ke Gaza.
Beliau berkata langkah itu akan menyatukan sumber, tenaga dan kepakaran NGO, menjamin ketelusan serta akauntabiliti dalam pengurusan dana serta mempercepat penghantaran bantuan melalui saluran diplomatik sedia ada.
GPM turut mencadangkan supaya kerajaan segera menghantar bantuan ubat-ubatan dan kecemasan menerusi penerbangan kargo khas dan menubuhkan MADANI Humanitarian Hub (MHH) di Mesir sebagai pusat koordinasi bantuan bersama rakan antarabangsa bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun.
"Kedua-dua langkah ini boleh dilaksanakan dengan menggunakan dana sedia ada di bawah AAKRP dengan mekanisme pelaporan bersama antara kerajaan dan masyarakat sivil bagi memastikan ketelusan dan keberkesanan maksimum," katanya.
Sejak dua tahun lepas, katanya GPM telah menyalurkan lebih RM3.5 juta bantuan kemanusiaan hasil sumbangan rakyat Malaysia kepada rakyat Gaza yang merangkumi ubat-ubatan, makanan asas, air bersih dan peralatan kesihatan dan diuruskan melalui pasukan lapangan diketuai Pengurus GPM di Gaza, Dr Tareq Al Tamas.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami