Kejayaan kawal kadar inflasi perlu diterjemah kepada penurunan harga - Rafizi

Rahimah Abdullah
Januari 25, 2023 08:48 MYT
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bercakap pada sidang media Penerbitan Harga Indeks Harga Pengguna (IHP) Disember 2022 di Putrajaya, hari ini.- Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, beliau memahami bebanan kos harga barangan mentah yang ditanggung peniaga yang mendakwa masih lagi tidak turun, sekali gus menyebabkan kenaikan harga makanan di restoran atau kedai.
Bagaimanapun, beliau mahu harga akhir yang diterima pengguna akan tetap diturunkan jika kerajaan berjaya mengawal inflasi pada kadar sihat pada masa akan datang.
"Sementara sekarang, saya faham peniaga akan kata mereka masih menanggung (kos), mereka masih lagi tidak nampak penurunan kos, margin mereka masih lagi tertekan.
"Namun, secara konsepnya di masa hadapan, sekiranya kerajaan berjaya mengawal inflasi pada kadar yang sihat untuk ekonomi, tetapi itu tidak diterjemahkan kepada penurunan harga yang dibayar oleh rakyat, sebagai sebuah negara dan masyarakat, kita akan ada masalah, kecuali kita nak jadi sebuah negara komunis.
"(Kalau nak kata) Semua harga barang, kerajaan kena regulate, itu tidak akan berlaku kerana kerajaan hanya boleh menawarkan dan menetapkan (barangan) di bawah Akta Kawalan Harga, barang-barang yang tertentu diguna pakai oleh banyak pihak yang menjadi the driving force untuk kos akhirnya," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.
BACA: "Kawal harga pemborong, orang tengah kalau nak turun harga"
Tambahnya lagi, pada ketika ini, terdapat tanda-tanda yang menunjukkan kadar inflasi negara akan mula mendatar.
Malah katanya, harga barangan mentah diramal berada pada kadar yang sihat jika kadar inflasi negara menurun kepada 3.2 peratus pada April depan.
"Jadi perkara ini saya sebut awal, kerana ada tanda-tanda bahawa inflasi akan mula mendatar. Kita tengok ia sudah mula peaking dalam bulan Ogos, September dan sekarang ini it's coming down dan flattening.
"Kita harap Januari ini, mungkin kalau tak turun, ia mendatar kepada 3.8 peratus dan terus turun dan turun. Kalau April 2023, kita boleh cecah 3.2 peratus, maksudnya secara makronya, harga barang mentah, kalau kita semak melalui Indeks Harga Pengguna, ia berada pada kadar sihat untuk ekonomi, namun harga yang dibayar pengguna itu belum turun.
"Sebab itu saya mahu tekankan isu ini lebih awal supaya pengguna faham antara angka inflasi memantau harga barang dengan harga barang yang kita bayar bagi makanan yang kita selalu beli di restoran dan kedai runcit," ujarnya.
#Rafizi Ramli #Menteri Ekonomi #Inflasi #harga barang