MALAYSIA

Kejayaan Kerajaan MADANI hasil kestabilan dasar, keberanian reformasi - PM Anwar

Astro Awani 28/12/2025 | 03:30 MYT
Menurut Peradana Menteri Anwar, pencapaian Kerajaan MADANI tidak hanya terhad kepada angka dan statistik semata-mata, sebaliknya, diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan yang dicapai Kerajaan MADANI setakat ini adalah hasil daripada kestabilan dasar, keberanian melaksanakan reformasi serta kepercayaan padu rakyat terhadap pentadbiran negara.

Menurut Perdana Menteri, di peringkat domestik, ekonomi negara terus diperkukuh menerusi penekanan kepada pelaburan berkualiti, penciptaan peluang pekerjaan serta pelaksanaan agenda pertumbuhan yang inklusif bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.

“Usaha ini bertujuan memastikan ekonomi negara bukan sahaja berkembang, tetapi turut berdaya tahan dan mampan dalam jangka panjang,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, di peringkat antarabangsa, hubungan erat yang dijalin antara kerajaan dengan pelbagai negara serta kumpulan pemimpin dunia telah membuka ruang kepada pelaburan strategik, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia di persada global.


Perdana Menteri berkata, pencapaian Kerajaan MADANI tidak hanya terhad kepada angka dan statistik semata-mata, sebaliknya diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat, termasuk peningkatan kesejahteraan keluarga, peluang ekonomi baharu serta jaminan masa depan yang lebih berdaya tahan.

Dalam masa sama, Anwar turut merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan keluarga, sahabat dan rakyat Malaysia, sambil menyatakan keyakinan bahawa Kerajaan MADANI akan terus melangkah ke hadapan dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Dengan sokongan padu semua pihak, Kerajaan MADANI akan terus berkhidmat dengan penuh tanggungjawab dalam usaha membina negara yang adil, makmur dan berdaya saing untuk semua,” kata Anwar lagi.




#Kerajaan Madani #Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #pelaburan