MALAYSIA
Kejayaan RMK13 bergantung kepada penyelarasan kemas setiap kementerian - PM
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri bagi meneliti kerangka dan inisiatif utama RMK13 hari ini. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejayaan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bergantung kepada penyelarasan kemas serta kesiapsiagaan setiap kementerian dan agensi kerajaan.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kejayaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bergantung kepada penyelarasan yang kemas dan kerjasama erat antara semua kementerian serta agensi kerajaan.
- RMK13 dirangka hasil perbincangan berterusan antara kementerian, agensi pusat dan kerajaan negeri, dan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada penghujung bulan depan.
- Anwar menyatakan bahawa RMK13 merupakan kesinambungan kepada reformasi Kerajaan MADANI bagi membina negara yang lebih adil, mampan dan berdaya tahan.
Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata setiap jentera pentadbiran perlu bergerak dengan semangat sederap dan seragam sebagai satu pasukan negara dalam merealisasikan dasar yang berpijak pada realiti serta memenuhi tuntutan masa depan.
"RMK13 dirangka hasil perbincangan berterusan antara kementerian, agensi pusat dan kerajaan negeri sejak beberapa bulan lalu," katanya yang mempengerusikan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri bagi meneliti kerangka dan inisiatif utama RMK13 hari ini.
Perdana Menteri berkata dokumen penting itu, yang akan membentuk hala tuju pembangunan negara untuk tempoh lima tahun, dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada hujung bulan depan.
Pada mesyuarat itu, Anwar turut memberi ruang kepada semua menteri dan pengurusan tertinggi kementerian untuk menyumbang idea serta cadangan dalam usaha mempertajam pelaksanaan RMK13.
"RMK13 adalah kesinambungan kepada pembaharuan yang telah digerakkan oleh Kerajaan MADANI sejak dua tahun lalu, berteraskan aspirasi Ekonomi MADANI untuk menyusun semula struktur ekonomi, mengangkat darjat, harkat dan martabat rakyat serta membina negara yang lebih adil, mampan dan berdaya tahan," katanya.
-- BERNAMA