Kek 'politik' Azrul Nizam penyeri PDM di Kedah

Adie Sufian Zulkefli
April 26, 2018 09:57 MYT
AZRUL NIZAM menerima tempahan daripada pelbagai parti politik di Yan, Kota Setar dan Sungai Petani.
Pilihan raya umum yang datang empat atau lima tahun sekali itu bukan sahaja menyebabkan pemimpin dan ahli parti sibuk melakukan gerak kerja parti.
Sebaliknya, bahang pilihan raya umum itu turut dirasai oleh pembuat kek, Azrul Nizam Azali, 26 tahun.
Azrul Nizam yang ditemui mengakui 'tidak menang' tangan untuk untuk menyiapkan tempahan kek dan kek cawan yang ditempah oleh pemimpin serta penyokong parti-parti yang bertanding di daerah Yan, Kota Setar dan Sungai Petani.
Menceritakan lebih lanjut, Azrul Nizam sememangnya tidak menyangka kek yang pada mulanya hanya ditempah oleh seorang individu akhirnya mendapat permintaan ramai daripada parti-parti yang bertanding.
Menurut Azrul dia menghadapi cabaran ketika menerima tempahan itu apabila bimbang warna yang diminta tidak sama dengan warna sebenar parti yang bertanding.
Bagaimanapun, katanya, berkat kesabaran dan beberapa kali mencuba, Azrul Nizam berjaya membuat campuran warna hingga mendapat kesepadanan dengan warna asal bagi setiap parti.
"Ini cabaran saya, apabila warna tidak sama dengan warna parti yang menempah kek itu. Pada mulanya saya takut tetapi bersyukur apabila teknik campuran warna itu membuahkan hasil," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Katanya kini dia menerima tempahan daripada pelbagai pemimpin dan penyokong parti, untuk di hantar ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) di sekitar daerah Yan, Kota Setar dan Sungai Petani..
Sebiji kek satu kilogram dijual pada harga RM75 hingga RM85 manakala kek cawan pula dijual 25 biji setiap kotak pada harga RM50.
#BN #kek #Kota Setar #Malaysia Memilih #PAS #pilihan raya umum #PKR #politik #Sungai Petani #warna #Yan