Kekal portfolio dalam kabinet, Rafizi teruskan perancangan Kementerian Ekonomi

Bernama
Disember 12, 2023 07:00 MYT
Rafizi (foto) berkata sesiapapun yang ditugaskan menggalas tanggungjawab sebagai Menteri perlu berkhidmat untuk negara kerana ia merupakan satu amanah, keistimewaan dan juga beban. -Gambar fail/Bernama
IPOH: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berazam meneruskan segala perancangan yang diatur bersama kementerian itu, selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pengumuman rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan hari ini mengekalkan kedudukan beliau menerajui kementerian berkenaan.
Beliau berkata sesiapapun yang ditugaskan menggalas tanggungjawab sebagai Menteri perlu berkhidmat untuk negara kerana ia merupakan satu amanah, keistimewaan dan juga beban.
"Tugas Menteri macam saya ialah kita tumpu kepada kerja sebaik-baiknya, kalau dikekalkan macam sekarang, maksudnya Alhamdulillah perancangan yang kami buat itu maksudnya dirasakan ada nilai tambah kepada pentadbiran kerajaan dan kita akan teruskan (usaha dalam kementerian).
"Kalaupun contohnya saya diminta untuk buat tugas lain, maksudnya saya selalunya akan pilih untuk memandang yang positif, saya dilihat ada nilai tambah di tempat lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat tapak projek Inisiatif Pendapatan Rakyat-Inisiatif Usahawan Tani Wilayah Ekonomi Koridor Utara (IPR-INTAN NCER), yang bertujuan membasmi kemiskinan tegar di Hulu Kinta di sini hari ini.
-- BERNAMA
#rombakan kabinet #Kabinet Kerajaan Perpaduan #Rafizi Ramli #Kementerian Ekonomi #Anwar Ibrahim