MALAYSIA

Kekal tenang, elak provokasi tentera Israel - CEO MyCARE

Faida Rahim 07/10/2025 | 03:40 MYT
Kamarul Zaman menekankan kepentingan sikap tenang dan tidak agresif dalam kalangan peserta misi bantuan kemanusiaan ke Gaza bagi mengelakkan sebarang tindakan keras. - Gambar Astro AWANI/ ABDUL WAFI NORAZMI
KUALA LUMPUR: Semua peserta misi kemanusiaan ke Gaza dinasihatkan agar kekal tenang serta mengelakkan sebarang tindakan provokatif yang boleh dijadikan alasan oleh tentera Israel untuk bertindak agresif.

Itu pesanan dititipkan Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar kepada semua peserta,

Tegas beliau, sikap tenang dan tidak agresif dalam kalangan peserta misi penting bagi mengelakkan sebarang tindakan keras daripada pihak tentera Israel.

“Jangan agresif. Kita elakkan daripada menjadi bahan untuk Israel mengasari. Jangan dijadikan apa-apa sebagai alasan untuk mereka bertindak. Jadi mindsetting itu sangat kritikal,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, hari ini.

Kamarul Zaman turut menjelaskan, peserta-peserta misi telah menjalani latihan non-violence yang merangkumi simulasi bagaimana untuk bertindak balas secara aman sekiranya berlaku kekerasan daripada pihak tentera Israel.

Tambah beliau lagi, latihan ini bertujuan memastikan hanya individu yang benar-benar bersedia secara mental dan emosi dipilih menyertai misi.

“Kalau peserta agresif sikit, minta maaf kerana mereka tidak dipilih untuk bersama. Kita takut nanti akan menyusahkan atau menjejaskan keselamatan peserta lain,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa proses saringan dan latihan minda adalah penting untuk memastikan semua peserta kekal tenang dan tidak mencetuskan sebarang insiden yang boleh memburukkan keadaan.

Misi kemanusiaan yang dikendalikan oleh Freedom Flotilla Coalition (FFC) ini melibatkan sembilan kapal termasuk kapal utama Conscience dan Umm Saad, dengan sasaran untuk tiba di Gaza sebelum hujung minggu bagi memudahkan akses bantuan guaman sekiranya berlaku halangan.

“Insya-Allah, kita harap semua peserta dapat kekal tenang dan fokus kepada misi kemanusiaan ini,” ujar beliau lagi.









#Gaza #Israel #bantuan kemanusiaan #MyCare