Polis pada Sabtu menahan sepasang kekasih muda bagi membantu siasatan berhubung tindakan tidak berperikemanusian membuang bayi yang baru dilahirkan ke dalam sungai di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Segamat, Supt Raub Selamat berkata, pasangan kekasih yang berusia 19 dan 21 tahun itu dipercayai membuang bayi lelaki tersebut di Sungai Kenawar, di sini.


Beliau berkata pasangan itu ditahan ketika remaja perempuan berkenaan berada di wad kecemasan Hospital Daerah Segamat (HDS) pada jam 4 pagi semalam sewaktu hendak mendapatkan rawatan.

"Kami menerima laporan daripada petugas HDS yang curiga apabila mendapati remaja perempuan berusia 19 tahun itu mengalami pendarahan teruk seperti baru bersalin," katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.

Beliau berkata hasil soal siasat, suspek lelaki yang bekerja di kedai alat ganti kenderaan itu mengaku memasukkan bayi lelaki yang dilahirkan tidak cukup bulan itu ke dalam plastik sebelum membuangnya ke dalam sungai.

Raub berkata bayi malang tersebut yang dianggarkan berusia enam bulan itu dipercayai dilahirkan di rumah keluarga remaja perempuan berkenaan di Paya Pulai, di sini sebelum teman lelakinya membuang bayi tersebut ke dalam sungai kira-kira pukul 11.15 malam.

"Kita telah membawa suspek lelaki ke tempat kejadian bagi mengesan mayat bayi itu pada jam 10 pagi Sabtu dan berjaya menemui bungkusan plastik yang terapung kira-kira jam 4 petang berhampiran tebing sungai," katanya.

Beliau berkata suspek lelaki direman selama empat hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Manakala suspek perempuan itu masih menerima rawatan di HDS dan siasatan lanjut akan dilakukan apabila suspek disahkan sihat oleh pihak hospital.

-- BERNAMA