SINGAPURA: Gabungan kekayaan 50 individu terkaya di Malaysia meningkat 30 peratus kepada US$116 bilion (RM458.2 bilion) pada 2026, berbanding US$90 bilion (RM355.5 bilion) setahun sebelumnya, didorong pertumbuhan ekonomi, pengukuhan ringgit dan pasaran tawaran IPO yang kukuh, menurut Forbes.
Individu terkaya di Malaysia, Robert Kuok, 102, kekal di kedudukan teratas apabila kekayaannya meningkat 19 peratus kepada US$13.6 bilion, diikuti Koon Poh Keong bersama adik-beradiknya dari Press Metal Aluminium Holdings, yang menyaksikan nilai bersih mereka melonjak 80 peratus kepada US$9.7 bilion.
Advertisement
Sementara itu, adik-beradik Lee Yeow Chor dan Lee Yeow Seng dari Kumpulan IOI naik tiga anak tangga ke tempat ketiga dengan kekayaan bersih US$8.5 bilion.
Dalam satu kenyataan, Forbes Asia berkata peningkatan itu didorong oleh pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 5.2 peratus pada 2025, pengukuhan ringgit dan pasaran IPO yang memberangsangkan.
“Seramai 41 individu dalam senarai itu mencatat peningkatan kekayaan tahun ini, termasuk Lee Thiam Wah (6), pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 99 Speed Mart Retail Holdings, yang menyaksikan kekayaannya hampir berganda kepada US$6.7 bilion,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
Menurut Forbes Asia, terdapat dua nama baharu dalam senarai tahun ini, iaitu Lee Kar Whatt, pengasas bersama dan pengarah urusan Eco-Shop Marketing, yang membuat penampilan sulung di tangga ke-18 dengan kekayaan bersih US$1.5 bilion.
Keluarga Tiong, yang berada di kedudukan ke-42 dengan kekayaan US$655 juta, terdiri daripada waris mendiang Tiong Hiew King, yang mempunyai kepentingan dalam sektor minyak sawit, hartanah dan media.
10 individu terkaya di Malaysia adalah seperti berikut:
1. Robert Kuok; US$13.6 bilion
2. Koon Poh Keong dan adik-beradik; US$9.7 bilion
3. Lee Yeow Chor dan Yeow Seng; US$8.5 bilion
4. Adik-beradik Teh; US$7.7 bilion
5. Quek Leng Chan; US$7.5 bilion
6. Lee Thiam Wah; US$6.7 bilion
7. Keluarga Krishnan; US$6.5 bilion
8. Jeffrey Cheah; US$5.3 bilion
9. Francis Yeoh dan adik-beradik; US$4.1 bilion
10. Syed Mokhtar Albukhary; US$3.5 bilion
Forbes Asia berkata, nilai minimum kekayaan untuk tersenarai meningkat kepada US$422 juta berbanding US$335 juta tahun lepas.
“Nilai kekayaan bersih adalah berdasarkan harga saham dan kadar pertukaran setakat penutupan pasaran pada 27 Mac, manakala syarikat persendirian dinilai berdasarkan syarikat setara yang didagangkan secara awam,” menurut kenyataan itul
-- BERNAMA