MALAYSIA

Kekecohan di Stadium MBPJ: Hannah seru penyokong amal kod sukan selamat

Seth Akmal 08/11/2025 | 09:20 MYT
HANNAH: Insiden itu tidak sepatutnya berlaku kerana bola sepak sepatutnya menjadi hiburan untuk sebuah keluarga. -Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan insiden kekecohan melibatkan penyokong bola sepak semasa perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di antara Selangor dan Persib Bandung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Khamis malam sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.


Ringkasan AI
  • Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan insiden kekecohan di Stadium MBPJ semasa perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2 antara Selangor dan Persib Bandung tidak sepatutnya berlaku kerana bola sepak adalah sukan rekreasi yang harus dihayati dengan aman dan sihat oleh semua pihak.
  • Hannah Yeoh merayu kepada penyokong bola sepak untuk mengamalkan budaya kecergasan dan menghentikan sebarang tindakan negatif di media sosial yang boleh merosakkan imej sukan dan masyarakat.
  • Beliau menekankan bahawa insiden kekecohan di stadium boleh memberi kesan negatif terhadap jualan tiket perlawanan akan datang serta merumitkan keadaan ekosistem bola sepak negara.


Beliau menegaskan bahawa bola sepak adalah sukan rekreasi dan hiburan untuk semua, dan penyokong perlu mengamalkan Kod Sukan Selamat bagi memastikan persekitaran stadium kekal selamat dan sihat untuk kanak-kanak, wanita dan keluarga.

“Insiden itu tidak sepatutnya berlaku kerana bola sepak sepatutnya menjadi hiburan untuk sebuah keluarga,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pentauliahan Emas Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) 2025 di Bukit Jalil, hari ini.

Malah, Hannah turut merayu agar para penyokong tidak memuat naik kandungan negatif melibatkan budaya seperti pergaduhan di media sosial.

“Saya merayu kepada semua, hentikan budaya gaduh-gaduh online kerana ini tidak membantu langsung untuk kita melahirkan generasi muda yang sopan dan mengikuti segala undang-undang yang telah diperuntukkan,” katanya.

Menurut Hannah, insiden kekecohan di stadium boleh menjejaskan jualan tiket perlawanan akan datang kerana menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan.

“Kalau ada ibu bapa yang menonton, mereka akan rasa, 'Oh anak muda nak pergi tengok bola sepak, eh bahaya, baik tengok secara dalam talian'.

"Jadi, semua ini akan menjejaskan jualan tiket, dan pengurus serta persatuan semua mesti memainkan peranan masing-masing,” katanya lagi.

Beliau turut memohon agar semua penyokong bola sepak bersabar demi memastikan ekosistem bola sepak negara kekal stabil, terutama ketika pasukan dan pemain kebangsaan masih menunggu keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) susulan isu penggantungan tujuh pemain warisan oleh FIFA.

“Kita masih ada pasukan dan pemain kebangsaan yang sedang menanti keputusan FAM nak ke CAS, tetapi saya meminta kesabaran untuk kita mengharungi detik mencabar ini kepada ekosistem bola sepak negara,” katanya lagi.

Dalam perlawanan tersebut, beberapa individu dipercayai penyokong Persib Bandung dilaporkan memasuki kawasan tepi padang ketika perlawanan berlangsung, manakala penyokong Selangor pula bertindak memasuki padang selepas tamat perlawanan kerana tidak berpuas hati dengan kekalahan 2-3 pasukan Gergasi Merah.





Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah pesanan yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkenaan insiden kekecohan di Stadium MBPJ?
    A: Hannah Yeoh menegaskan bahawa insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku dan menyeru penyokong bola sepak untuk mengamalkan Kod Sukan Selamat demi memastikan persekitaran stadium kekal selamat dan sihat.
  • Q: Apakah risiko yang ditimbulkan oleh budaya pergaduhan dalam media sosial seperti yang ditekankan oleh Hannah Yeoh?
    A: Hannah Yeoh menyatakan bahawa budaya pergaduhan dalam media sosial boleh merosakkan imej sukan dan masyarakat serta tidak membantu dalam membentuk generasi muda yang sopan serta patuh pada undang-undang yang sedia ada.
  • Q: Mengapa Hannah Yeoh memohon agar penyokong bola sepak bersabar terutama dalam konteks pasukan dan pemain kebangsaan yang menanti keputusan FAM berhubung isu pemain ditangguhkan oleh FIFA?
    A: Hannah Yeoh meminta kesabaran daripada penyokong bola sepak untuk memastikan kestabilan ekosistem bola sepak negara, terutama ketika pasukan dan pemain kebangsaan masih menantikan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung isu pemain yang ditangguhkan oleh FIFA.



#Hannah Yeoh #insiden kekecohan di Stadium MBPJ #Liga Juara-Juara Asia 2 #Selangor lawan Persib Bandung