Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Kekerapan gangguan Aerotrain, Loke arah APAD buka kertas siasatan terhadap MAHB

Umavathi Ramayah 28/10/2025 | 08:14 MYT
Loke berkata, pada peringkat awal operasi Aerotrain, pihaknya maklum MAHB memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Kementerian Pengangkutan mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membuka siasatan terhadap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) susulan insiden gangguan perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


Ringkasan AI
  • Kementerian Pengangkutan arah APAD siasat MAHB susulan gangguan berulang perkhidmatan Aerotrain di KLIA, termasuk insiden terbaharu awal pagi Selasa.
  • MAHB boleh dikenakan kompaun sehingga RM250,000 bagi setiap pelanggaran syarat lesen pengendali di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, jika perkhidmatan tidak memuaskan.
  • Aerotrain alami 19 gangguan antara Julai hingga September 2025, termasuk isu teknikal dan faktor manusia, walaupun sistem telah beroperasi semula sejak 1 Julai lalu.


Menterinya, Anthony Loke berkata, pada peringkat awal operasi Aerotrain, pihaknya maklum MAHB memerlukan masa untuk menyesuaikan diri memandangkan sistem itu masih dalam fasa penyesuaian awal.

"Namun, memandangkan perkhidmatan Aerotrain telah beroperasi selama beberapa bulan, Kementerian melalui APAD akan mengambil tindakan tegas terhadap MAHB bagi setiap insiden gangguan yang berlaku," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Selain itu, Anthony Loke menjelaskan lesen pengendali yang dikeluarkan kepada MAHB menetapkan syarikat itu bertanggungjawab memastikan tahap perkhidmatan Aerotrain sentiasa memuaskan dan tidak menjejaskan keselesaan pengguna.

Beliau turut mengingatkan bahawa di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, pelanggaran terhadap syarat lesen pengendali boleh dikenakan kompaun sehingga RM250,000 bagi setiap kesalahan.

Kementerian Pengangkutan sebelum ini menerima beberapa aduan berhubung gangguan perkhidmatan Aerotrain yang menjejaskan kelancaran pergerakan penumpang antara terminal di KLIA.

Sejak beroperasi semula pada 1 Julai lalu, Aerotrain beberapa kali mengalami gangguan perkhidmatan dengan insiden terbaharu berlaku awal pagi Selasa.

Malah, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat baru-baru ini, memaklumkan dari 2 Julai hingga 30 September lalu, sistem Aerotrain mengalami masalah sebanyak 19 kali, antaranya berkaitan isu teknikal seperti semboyan dan faktor manusia seperti penumpang cuba membuka pintu.




#APAD #Gangguan Aerotrain #siasatan #KLIA #Anthony Loke #MAHB #terkini