KEPALA BATAS: Parti Amanah Negara (Amanah) menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menentukan siapa yang bakal mengisi jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Presidennya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, meskipun berharap jawatan itu diberikan kepada pemimpin mahupun ahli parti itu, namun Perdana Menteri lebih berhak menentukan siapa yang bakal berada di dalam kabinetnya kelak.

"Itu kita serah kepada Perdana Menteri. Perdana Menteri mempunyai kuasa segalanya. Nama itu adalah dalam kalangan semua ahli Amanah yang layak untuk mengisi jawatan tersebut.

"Kami ada 200,000 ahli yang semuanya layak. Tetapi seperti saya kata tadi, kita mengharap, tetapi hak itu adalah hak PM, kerana PM yang menentukan kabinetnya," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kekosongan jawatan Menteri KPDN berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada Julai lepas.

Terdahulu, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan hadir bagi merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Kepala Batas di Dewan Bakau Tua, Penaga. 

Portfolio Menteri KPDN kini dipangku Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.

Media sebelum ini melaporkan, Anwar berkata kekosongan jawatan Menteri KPDN itu akan diisi sekiranya ada calon sesuai.

Bagaimanapun sehingga kini, penggantinya masih menjadi tanda tanya sehingga menimbulkan desas-desus akan berlaku rombakan kabinet.

Pada 23 Julai lalu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, pada jam 9.23 malam ketika dirawat di unit rawatan rapi.