Tabung Harapan Malaysia hari ini menerima sumbangan berjumlah RM311,000 daripada 17 kelab kereta seluruh negara melalui penganjuran konvoi amal 'Drive To A Greater Malaysia'.

Sumbangan program anjuran Weekend Drive Group (WDG) itu, yang melibatkan penyertaan seramai 320 pemandu dari pelbagai jenis kenderaan, diserahkan Pengerusinya Datuk Nordin Ahmad di Dataran Masjid Putra di sini.

Exco Pembangunan Belia, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Keusahawanan Negeri Selangor Amirudin Shari menerima sumbangan itu bagi pihak kerajaan.

Bercakap kepada pemberita, Nordin berkata inisiatif itu untuk membantu kerajaan meringankan bebanan hutang negara, yang dimulakan sejak 1 Jun lepas, berjaya mengumpul RM300,000 melalui sumbangan individu dan beberapa syarikat.

"Baki RM11,000 dikumpul melalui penjualan topi, baju dan cenderahati kelab di destinasi penjelajahan berlangsung," katanya.

Nordin berkata kejayaan program itu, yang dirancang WDG dalam masa singkat, memberi iltizam kepada mereka untuk meneruskan usaha mengumpul dana pada masa akan datang.

"Kami ingin menjadi sebahagian daripada pembawa perubahan kepada negara malah, merasa bangga dan berpuas hati kerana dapat menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk bersama-sama membantu kerajaan," katanya.

Antara kelab yang mengambil bahagian dalam konvoi amal itu ialah Kelab Audi Malaysia, Kelab Ranger Truckers, Lotus Official Club Malaysia, BMW Club Malaysia, RX8 Society dan Hilux Club Malaysia.

-- BERNAMA