KUALA NERUS: Kelab KESA FC yang terbabit dengan insiden pergaduhan ketika perlawanan menentang NAG FC di Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), Gong Badak, disingkirkan daripada saingan Liga Bolasepak Terengganu (TFL).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata perkara itu diputuskan oleh Jawatankuasa Pertandingan TFL dalam satu mesyuarat semalam.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk berlaku kelakuan ganas, kelakukan tidak tertib dan kegagalan KESA FC mengawal pemain dan pegawai sehingga mengakibatkan kecederaan kepada orang lain.

"Selain itu hal ini juga telah diambil tindakan serius oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan diklasifikasi di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

"Untuk mengelak perkara daripada berulang, pihak jawatankuasa TFL bersetuju sebulat suara mengenakan hukuman gantung kepada KESA FC," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JKPK) daerah Kuala Nerus, di sini hari ini.

Hishamuddin berkata beliau berharap hukuman itu akan menjadi teladan dan peringatan kepada pasukan lain supaya tidak melakukan kesalahan sama pada masa akan datang.

Jumaat lalu, perlawanan itu dicemari dengan insiden pergaduhan hingga menyebabkan seorang pegawai pasukan NAG cedera teruk di bahagian muka sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Perlawanan itu dimenangi kelab NAG 4-1.

-- BERNAMA