Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – ikuti perkembangan harian prosiding mahkamah di sini.
MALAYSIA

Kelahiran hidup rekod 414,918 pada 2024, terendah sejak 1980

Bernama 16/10/2025 | 08:00 MYT
Mohd Uzir (foto) berkata kelahiran bayi lelaki direkodkan melebihi bayi perempuan, iaitu masing-masing dengan 213,919 dan 200,999. -Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan bilangan kelahiran hidup terendah sejak 1980 dengan 414,918 kelahiran pada 2024, iaitu menurun sembilan peratus berbanding 455,761 kelahiran pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam terbitan Perangkaan Penting 2025.


Ringkasan AI
  • Malaysia merekodkan bilangan kelahiran hidup terendah sejak 1980 dengan 414,918 kelahiran pada 2024, menurun sembilan peratus berbanding tahun sebelumnya, dan kadar kelahiran kasar turut menurun kepada 12.2 bagi setiap 1,000 penduduk.
  • Kadar kesuburan jumlah (TFR) terus menurun kepada 1.6 anak per perempuan, di bawah paras penggantian 2.1 anak, manakala etnik Melayu kekal penyumbang utama kelahiran walaupun peratusannya menurun.
  • Jumlah kematian meningkat sedikit kepada 198,992 pada 2024, dengan kadar kematian kasar menurun kepada 5.8 bagi setiap 1,000 penduduk dan kumpulan umur 7074 tahun mencatat kematian tertinggi.


Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata kelahiran bayi lelaki direkodkan melebihi bayi perempuan, iaitu masing-masing dengan 213,919 dan 200,999.

"Penurunan bilangan kelahiran ini telah mengakibatkan kadar kelahiran kasar (CBR) turut merekodkan penurunan daripada 13.6 kelahiran pada 2023 kepada 12.2 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk pada 2024.

"Nisbah jantina ketika lahir (SRB) merekodkan penurunan daripada 107.4 lelaki pada 2023 kepada 106.4 lelaki bagi setiap 100 perempuan pada 2024," katanya.

Beliau berkata etnik Melayu menyumbang 65.7 peratus atau 272,718 daripada jumlah kelahiran hidup pada tahun lepas, berbanding 67 peratus (305,494) pada tahun sebelumnya.

Kelahiran hidup bagi etnik Cina merekodkan peningkatan daripada 9.8 peratus (44,818) kepada 10.8 peratus (44,914), manakala etnik India merekodkan penurunan daripada 4.4 peratus (20,064) kepada 4.3 peratus (17,914) pada 2024.

Semua negeri merekodkan penurunan CBR pada 2024 berbanding 2023, dengan Terengganu merekodkan CBR tertinggi, iaitu 19.3 kelahiran manakala Pulau Pinang merekodkan CBR terendah dengan 10.1 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk.

Beliau berkata kadar kesuburan jumlah (TFR) merekodkan penurunan daripada 1.7 anak pada 2023 kepada 1.6 anak bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun pada 2024.

Sejak 1970 hingga 2012, TFR negara telah direkodkan atas paras penggantian, iaitu 2.1 anak bagaimanapun TFR mula menurun di bawah paras penggantian bermula 2013 sehingga kini.

Paras penggantian 2.1 anak ialah purata bilangan anak yang perlu dilahirkan oleh seorang perempuan sepanjang tempoh kesuburan mencukupi untuk menggantikan dirinya dan pasangan.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata kematian yang direkodkan pada tahun lepas ialah 198,992, meningkat satu peratus berbanding 196,965 kematian pada tahun sebelumnya.

Kadar kematian kasar (CDR) merekodkan penurunan daripada 5.9 kematian pada 2023 kepada 5.8 kematian pada 202 bagi setiap 1,000 penduduk.

Bilangan kematian lelaki pada tahun lepas ialah 113,866 kematian atau 57.2 peratus daripada jumlah kematian manakala bilangan kematian perempuan sebanyak 85,126.

Kumpulan umur 70 hingga 74 tahun merekodkan jumlah kematian tertinggi pada 2024 dengan 24,513 kematian atau 12.3 peratus dan kumpulan umur lima hingga sembilan tahun pula merekodkan bilangan terendah dengan 412 kematian (0.2 peratus) pada 2024.

-- BERNAMA

#kelahiran hidup #Mohd Uzir Mahidin #Jabatan Perangkaan Malaysia #DoSM