Kelahiran Puteri Diraja Brunei dirai dengan 17 das tembakan meriam

Istiadat Diraja di Istana Nurul Iman diserikan dengan 17 das tembakan meriam sebagai simbol penghormatan atas kelahiran puteri pertama pasangan diraja, Pengiran Muda Abdul Mateen dan Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam.
BANDAR SERI BEGAWAN: Sebanyak 17 das tembakan meriam dilepaskan di perkarangan Istana Nurul Iman, Brunei, tanda bermulanya istiadat rasmi meraikan kelahiran cahaya mata pertama pasangan diraja, Pengiran Muda Abdul Mateen dan Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam pada Ahad.
Memetik laporan agensi, Anisha selamat melahirkan seorang puteri pada jam 8.50 pagi, sekali gus menambah seorang lagi cucunda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Hassanal Bolkiah.
Perkhabaran gembira itu turut dikongsikan sendiri oleh Anisha menerusi Instagram, mencuri perhatian rakyat Brunei dan peminat keluarga diraja.
Sementara itu, memetik kenyataan Pejabat Baginda Sultan, istiadat tembakan meriam yang dilepaskan di kawasan istana itu adalah sebahagian tradisi Diraja Brunei bagi menzahirkan kesyukuran atas kelahiran pewaris baharu kerabat diraja.
Kelahiran ini disambut dengan penuh adat istiadat dan disertai ucapan tahniah daripada rakyat jelata yang memenuhi ruangan media sosial. Rata-rata melahirkan rasa gembira atas berita itu, apatah lagi pasangan diraja tersebut amat disayangi di seluruh Brunei.
Abdul Mateen, anakanda ke 10 kepada Sultan Hassanal Bolkiah, sebelum ini berkongsi berita kehamilan isterinya pada Oktober lalu. Pasangan diraja yang sama cantik sama padan itu diijabkabulkan pada 11 Januari 2024 dalam istiadat penuh adat di Masjid Omar Ali Saifuddien.
Tradisi 17 das tembakan meriam merupakan sebahagian daripada istiadat Diraja Brunei bagi menandakan kelahiran kerabat baharu.
Ia dilihat sebagai simbol penghormatan tinggi terhadap kelahiran pewaris, selain mencerminkan warisan kesultanan yang kaya dengan nilai adat dan budaya.
Dengan kelahiran puteri sulung pasangan ini, tumpuan rakyat Brunei sekali lagi terarah kepada institusi diraja negara itu, yang terus menjadi lambang kestabilan, identiti dan kesinambungan tradisi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


