[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Kelantan arah siasat kecurian emas, pembalakan haram

Bernama 10/09/2025 | 09:59 MYT
Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata kerajaan negeri memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan hasil bumi yang juga harta rakyat. - Bernama
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengarahkan Jabatan Perhutanan dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) menjalankan siasatan berhubung kes kecurian emas dan pembalakan haram di tanah milik kerajaan negeri.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata kerajaan negeri memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan hasil bumi yang juga harta rakyat.

"Apa sahaja berkaitan harta kerajaan adalah serius. Bermula dengan kecil, ia boleh jadi besar. Sebab itu saya minta penguat kuasa sama ada dari kerajaan Persekutuan atau negeri membendungnya dari awal kerana ia milik rakyat.

"Ada beberapa kes dilaporkan secara tidak rasmi, namun saya sudah arah pihak berkuasa termasuk Jabatan Perhutanan dan PTG menyiasat," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat lengkap berhubung perlombongan haram atau aktiviti mencurigakan supaya tindakan segera dapat diambil.

Katanya kerjasama rakyat penting kerana pihak berkuasa mungkin sukar mengesan lokasi, namun penduduk boleh melaporkan jika melihat kenderaan keluar masuk atau aktiviti mencurigakan.

Isnin lepas, polis menahan tiga warga asing dalam serbuan di ladang sawit di Sungai Seting, Gua Musang, selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan melombong emas tanpa permit.

Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman SAC Rosli Md Yusof berkata dua warga Myanmar dan seorang warga Indonesia ditahan kerana tidak memiliki permit perlombongan serta gagal mengemukakan dokumen perjalanan.

-- BERNAMA

#Kelantan #kecurian emas #pembalakan haram #tanah kerajaan negeri