KOTA BHARU: Kelantan bakal menikmati perkhidmatan kelajuan internet lebih pantas dan capaian internet 5G seawal tahun depan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata keutamaan itu diberikan, berlandaskan beberapa prospek pembangunan yang sedang dilaksanakan di negeri itu.

"Secara strategiknya Kelantan akan dibangunkan sebagai hub logistik kawasan timur yang penting dan akan menjadi perkhidmatan logistik antarabangsa, terutama dalam mewujudkan peluang pekerjaan.

"... dan saya telah berunding dengan Digital Nasional Berhad (DNB), termasuk meminta meletakkan Kelantan sebagai negeri yang diberi keutamaan bagi perkhidmatan jalur lebar 5G serta-merta," katanya selepas meninjau Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) Kadok di Gudang FAT17, di sini hari ini.

Annuar berkata DNB telah bersetuju dan akan memulakannya serta-merta, selain rundingan untuk menyambung tapak menara 5G dijalankan di jajahan Kota Bharu, dengan jangkaan siap dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi atau seawal 2023.

Beliau berkata usaha itu juga, turut memberikan satu ekosistem atau satu kedudukan untuk mula dirancang Kelantan sebagai hub logistik wilayah, bukan sahaja di Kelantan tetapi boleh sampai ke Thailand.

"Menara 5G di Peringat dan Ketereh sudah mula berfungsi, cuma telco yang diberi perkhidmatan itu akan 'roll out' pada bulan hadapan.

"Pada masa ini, laporan yang sampai kepada saya penggunaan kira-kira tujuh hingga 10 gigabit sudah digunakan tiap-tiap hari, maknanya sudah ramai orang menggunakan cuma diingatkan pastikan gajet yang dipakai ialah gajet 5G," katanya.

Annuar berkata bekalan teknologi 5G bagi jajahan Kota Bharu di kawasan pekan-pekan utama dalam jajahan Kota Bharu, terutama di Kok Lanas, Melor, Peringat dan Kadok telah dipilih DNB untuk menyegerakan tapak tambahan.

"Sebanyak 10 tapak dijalankan serta-merta terutama kawasan Peringat dan tumpuan sekarang untuk menyiapkan bagi keseluruhan kawasan, termasuk berhampiran Kem Desa Pahlawan di Kok Lanas kerana penting untuk kegunaan tentera.

"Kita minta DNB menyegerakan, selain mengarahkan supaya membina sasaran di kawasan Ketereh, Peringat dan Kok Lanas, yang sepatutnya siap hujung tahun depan tetapi telah dipercepatkan dan dijangka siap menjelang Februari tahun depan," katanya.

Annuar berkata industri mula mengguna teknologi Internet Benda (IoT), internet office, robotik, pengenalan muka, kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya yang memerlukan 5G, dan sangat diperlukan oleh anak-anak muda.

Beliau berkata pembangunan yang dilaksana memerlukan perkhidmatan jalur lebar yang berkualiti untuk menarik pelaburan khususnya dari luar negara.

-- BERNAMA