MALAYSIA
Kelantan hargai arahan Perdana Menteri percepat penggantian titi gantung Lata Rek
Penduduk meninjau keadaan jambatan gantung yang rosak untuk digunakan sementara waktu selepas bergotong-royong membaikinya ketika tinjauan Bernama di Sungai Chatel Damai, Lata Rek hari ini. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas arahan agar peruntukan disediakan bagi menggantikan titi gantung yang runtuh di Lata Rek, Kuala Krai dengan segera demi keselamatan dan kemudahan rakyat.
Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata kejadian yang berlaku pada Khamis lepas, telah mengakibatkan beberapa orang awam cedera selain menjejaskan akses harian penduduk setempat.
Beliau berkata kerajaan negeri telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai untuk menyelaras segala urusan berkaitan bersama-sama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan agensi terlibat bagi memastikan kerja penggantian disegerakan dan dilaksanakan secara teratur.
"Kerajaan negeri komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan demi menjamin kebajikan rakyat serta memastikan kemudahan awam yang selamat dan berfungsi dapat disediakan sebaiknya," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Mohd Nassuruddin berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai dan Ahli Parlimen Kuala Krai telah turun padang serta mengambil langkah awal membantu mangsa serta memastikan keselamatan penduduk di kawasan terlibat.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan rasa simpati dan keprihatinan kepada semua mangsa terlibat serta mendoakan mereka diberikan kesembuhan serta segala urusan dipermudahkan.
"Saya berharap penyelesaian terhadap isu ini dapat dilaksanakan dengan pantas melalui kerjasama erat semua pihak," katanya.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan memaklumkan Anwar mengarahkan peruntukan disediakan bagi menggantikan segera titi gantung itu yang runtuh sehingga menyebabkan orang awam cedera serta menjejaskan akses harian penduduk sekitar Kampung Pasir Jering, Dusun Ban, Dusun Bunut dan Kampung Batu Pagar.
Pada Khamis lepas, media melaporkan suasana meriah sebuah majlis perkahwinan bertukar cemas apabila titi gantung dilalui tetamu tiba-tiba runtuh menyebabkan lebih 50 orang terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai di Lata Rek.
-- BERNAMA