MALAYSIA

Kelantan kumpul 88.22 peratus hasil negeri, rangka strategi perkukuh kewangan

Bernama 08/01/2026 | 20:45 MYT
Mohd Nassuruddin berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi Skim Kredit Mikro Usahawan Negeri Kelantan tahun ini. - Foto Facebook/Mohd Nassuruddin Daud
KOTA BHARU: Kutipan hasil negeri mencecah RM879.79 juta tahun lepas, iaitu 88.22 peratus daripada anggaran tahunan, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.


Ringkasan AI
  • Kutipan hasil negeri Kelantan cecah RM879.79 juta tahun lepas, iaitu 88.22 peratus daripada anggaran tahunan, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
  • Strategi diperkenalkan untuk memperkukuh sumber hasil baharu dan meningkatkan kedudukan kewangan negeri termasuk penetapan KPI kutipan tunggakan cukai tanah dan pencapaian 100 peratus KPI kutipan cukai tanah baharu.
  • Kerajaan negeri peruntukkan RM1 juta bagi Skim Kredit Mikro Usahawan Negeri Kelantan bagi golongan berpendapatan rendah, belia, wanita, dan usahawan luar bandar, dengan harapan merancakkan ekonomi setempat.


Beliau berkata kerajaan negeri telah merangka beberapa strategi untuk memperkukuh sumber hasil baharu dan meningkatkan kedudukan kewangan negeri.

Mohd Nassuruddin berkata antara langkah yang digariskan ialah penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) kutipan tunggakan cukai tanah pada kadar sekurang-kurangnya 80 peratus manakala KPI kutipan cukai tanah baharu disasarkan mencapai 100 peratus.

"Selain itu, penguatkuasaan hasil hutan akan dipertingkatkan meliputi royalti kayu-kayan, premium perhutanan, pampasan dalam negeri dan kayu getah. Penguatkuasaan terhadap sumber mineral seperti batu-batan, mangan, bijih besi dan emas juga akan diperkukuh.

"Pada masa sama, kadar sumbangan tetap anak-anak syarikat kerajaan negeri akan disemak semula, khususnya syarikat di bawah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu dan Perhimpunan Penjawat Awam Kelantan 2026 di Kompleks Kota Darulnaim di sini.

Sementara itu, Mohd Nassuruddin berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi Skim Kredit Mikro Usahawan Negeri Kelantan tahun ini.

Beliau berkata skim yang dilancarkan pada November lepas itu menyediakan akses pembiayaan yang lebih mudah, inklusif dan bersasar kepada usahawan kecil, khususnya golongan berpendapatan rendah, belia, wanita dan usahawan luar bandar.

"Pada tahun lepas, skim ini membiayai 10 usahawan dengan jumlah keseluruhan RM95,000, melalui proses permohonan telus bersama Bank Muamalat. Tahun ini, skim diperluaskan kepada kumpulan kedua yang melibatkan penerima daripada semua 45 kawasan Dewan Undangan Negeri," katanya.

Beliau berkata inisiatif itu diharap dapat merancakkan ekonomi setempat serta melahirkan lebih ramai usahawan baharu.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menawarkan diskaun 90 peratus bagi tunggakan denda cukai tanah, yang pada awalnya berakhir pada 30 Disember lepas, namun kini dilanjutkan sehingga Mac depan.

"Keputusan ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk menggalakkan rakyat melaksanakan tanggungjawab secara berhemah demi kelangsungan dan kemajuan pembangunan negeri," katanya.

-- BERNAMA





#penjawat awam #ekonomi setempat #Usahawan baharu #proses mudah