[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Kelantan lindungi hak, kebajikan Orang Asli termasuk hal tanah adat

Bernama 23/04/2025 | 13:45 MYT
Nassuruddin berkata tanah adat hanya wujud di Sabah dan Sarawak mengikut undang-undang negeri di kedua-dua negeri berkenaan. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan komited melindungi hak dan kebajikan masyarakat Orang Asli selaras dengan dasar pembangunan inklusif negeri melalui peruntukan belanjawan negeri pada setiap tahun, termasuk hal tanah adat.
Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata mengenai masalah tanah adat masyarakat Orang Asli yang dibangkitkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, sebenarnya tidak menjadi isu kerana tiada istilah tanah adat untuk Orang Asli sama ada dalam Kanun Tanah Negara 1965 mahupun Akta Orang Asli 1954.
Beliau berkata tanah adat hanya wujud di Sabah dan Sarawak mengikut undang-undang negeri di kedua-dua negeri berkenaan.
"Tanah adat tidak wujud di Semenanjung Malaysia. Akta Orang Asli hanya menyebut berkenaan kawasan rayau Orang Asli yang perlu diwartakan," katanya pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Darulnaim di sini hari ini.
Mohd Nassuruddin berkata bagi negeri Kelantan, kawasan Orang Asli tidak diwartakan di bawah Akta Orang Asli tetapi diwartakan di bawah peruntukan perizaban Kanun Tanah Negara.
"Akta Orang Asli bukan undang-undang berkaitan tanah, tetapi Kanun Tanah Negara ialah undang-undang khusus berkaitan tanah. Justeru, pewartaan di bawah Kanun Tanah Negara mempunyai kuat kuasa undang-undang yang lebih kukuh berbanding pewartaan di bawah Akta Orang Asli," katanya.
Beliau berkata di Kelantan, beberapa lokasi telah diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara seperti kawasan Aring 5, PT 11982, Kampung Meranto, PT 5612, HSD 8978 dan beberapa lot warta Orang Asli di kawasan Lojing.
-- BERNAMA
#Kelantan #Tanah adat #Hak orang Asli #Mohd Nassuruddin Daud