MACHANG: Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju menyalurkan sumbangan RM85,200 bagi menampung kos sewaan kedai peniaga Pasar Awam Machang selama tiga bulan, bermula dari awal operasi di lokasi baharu itu.
Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata bantuan itu diharap dapat meringankan beban peniaga yang perlu menyesuaikan operasi perniagaan, selain menampung kos perpindahan dan kemungkinan penurunan hasil jualan dalam tempoh peralihan.
Beliau berkata sumbangan berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan peniaga yang memainkan peranan penting dalam menggerakkan ekonomi setempat serta menyediakan keperluan harian masyarakat.
“Justeru, sumbangan ini diharapkan dapat membantu meringankan sebahagian daripada beban yang ditanggung, khususnya dari segi kos sewaan pada peringkat awal operasi di lokasi baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bandar Seri Mentara dan Pasar Awam Machang baharu di Bandar Seri Mentara di sini pada Ahad.
Pembangunan Bandar Seri Mentara melibatkan kawasan seluas kira-kira 23.58 ekar dengan nilai pembangunan sekitar RM70 juta, merangkumi 169 unit kedai dan pejabat dua tingkat, pasar raya, pasar basah dan kering, perhentian bas serta surau.
Mohd Nassuruddin berkata pembangunan bandar baharu itu dirancang bagi menyediakan kawasan perniagaan yang lebih tersusun, moden dan kondusif, selain membuka peluang perniagaan serta pekerjaan kepada penduduk setempat.
Beliau berkata kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat, sekali gus merancakkan kegiatan ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat di daerah Machang.
-- BERNAMA