NATIONAL
Kelantan sasar 1,000 usahawan tani di setiap DUN

Mohd Saripudin berkata kerajaan negeri juga giat membangunkan Kawasan Agrovalley berkeluasan hampir 121 hektar di Rong Chenok, Pasir Mas yang menawarkan pelbagai aktiviti pertanian dan penternakan. - Gambar Facebook Mohd Saripudin
KOTA BHARU: Kerajaan negeri menyasarkan 1,000 usahawan tani bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun ini menerusi Gerakan Pertanian Al-Falah, Persidangan DUN diberitahu hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata usaha itu bagi merancakkan sektor pertanian sekali gus merealisasikan Kelantan sebagai 'Jelapang Makanan Negara'.
"Selain sasaran itu, kerajaan negeri juga sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bukan sahaja untuk memperkukuh sektor pertanian bahkan bagi memberi sokongan kepada petani dan nelayan, serta memperkasa agropelancongan.
"Pusat penyelidikan dan pembangunan biak baka berkualiti bagi ternakan ruminan yang berkualiti tinggi menggunakan teknologi bio terutama pembiakbakaan lembu NAIMbif di bawah seliaan Kelantan Biotech Corporation juga akan diwujudkan," katanya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Huzaimy Che Husin (PAS-Pantai Irama) mengenai usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor pertanian termasuk bantuan kepada petani dan nelayan, serta agropelancongan.
Mohd Saripudin berkata kerajaan negeri juga giat membangunkan Kawasan Agrovalley berkeluasan hampir 121 hektar di Rong Chenok, Pasir Mas yang menawarkan pelbagai aktiviti pertanian dan penternakan.
Beliau berkata segala usaha yang dirancang diharap dapat dilaksanakan dengan baik memandangkan kerajaan negeri turut memperuntukkan RM6.79 juta untuk sektor pertanian tahun ini.
"Dengan adanya peruntukan ini, pengeluaran hasil pertanian dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa dan pada tahun lepas, kerajaan negeri telah merekodkan pengeluaran hasil lebih 550,000 metrik tan dengan nilai sebanyak RM1.1 bilion," katanya.
Mohd Saripudin berkata peruntukan lebih RM3.6 juta telah disalurkan kepada Jabatan Pertanian melibatkan 10 program dengan 321 projek pembangunan yang memanfaatkan 415 petani.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami