MALAYSIA

Kelantan terdedah risiko rasuah di pintu sempadan - Azam Baki

Bernama 22/01/2026 | 08:15 MYT
Azam berkata, bagi mengatasi perkara itu pihaknya mula bekerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS). - Gambar fail
KOTA BHARU: Kedudukan Kelantan yang bersempadan dengan Thailand mengundang risiko berlaku aktiviti rasuah dalam penguatkuasaan terutamanya membabitkan penyeludupan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata bagi mengatasi perkara itu pihaknya mula bekerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

"Di Kelantan terutamanya di Rantau Panjang di Pasir Mas dan Bukit Bunga, Tanah Merah, kita dapati lebih kepada isu sempadan.

"Banyak isu penguatkuasaan melibatkan ketirisan berlaku seperti kutipan cukai membabitkan barangan seludup, barang pertanian, barang subsidi dan sebagainya. Sekarang kita bekerjasama dengan AKPS untuk memantau perkara ini.

"Jika tidak pantau dengan serius ia akan mengundang isu ketirisan dan jenayah seperti perdagangan manusia, dadah dan sebagainya," katanya ketika bersiaran langsung pada Program Bual Bicara RTM Kelantan di sini, hari ini.



#SPRM #Sempadan Negara #kes rasuah #Azam Baki