MALAYSIA

Kelantan tubuh Unit Integriti di semua PBT

Bernama 22/07/2025 | 06:30 MYT
Menurut Mohamed Fadzli, inisiatif terbabit selari dengan Pelan Antirasuah Kelantan (KACP) dan dasar nasional. - Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Kelantan sedang melaksanakan inisiatif membangunkan Unit Integriti di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memperkukuhkan tadbir urus dan budaya integriti dalam perkhidmatan awam negeri.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Kelantan laksana Unit Integriti di semua PBT bagi memperkukuh tadbir urus dan budaya antirasuah dalam sektor awam negeri.
  • Inisiatif selari dengan Pelan Antirasuah Kelantan (KACP) dan dasar nasional, berteraskan konsep Ubudiyyah, Mas'uliyyah dan Itqan untuk menyemai nilai integriti dalam perkhidmatan.
  • Strategi baharu sedang dirancang berasaskan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 20242028, menandakan komitmen Kelantan terhadap kecekapan dan profesionalisme penjawat awam.


Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata langkah itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola Peringkat Nasional Siri 4 Bil.1 Tahun 2025, dan telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kali Ke-2/2025 yang bersidang pada 5 Feb lepas.

"Pelan Antirasuah Kelantan (KACP) 2020-2024 telah dibangunkan selari dengan dasar dan pelan peringkat nasional iaitu Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dengan matlamat untuk membudayakan amalan integriti dalam penyampaian dan perkhidmatan berpaksikan konsep Ubudiyyah, Mas'uliyyah dan Itqan.

"Selaras dengan pembangunan KACP dan NACP, kerajaan negeri juga sedang merancang untuk membangunkan Strategi Pembanterasan Rasuah Kelantan berteraskan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024-2028," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Saizol Ismail (PAS-Salor) yang bertanya mengenai dasar semasa kerajaan negeri terhadap penjawat awam dalam aspek integriti dan profesionalisme pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

-- BERNAMA



#kerajaan negeri Kelantan #tubuh unit integriti #pbt #Mohamed Fadzli Hassan