Kelantan umum 13 Dis sebagai hari kelepasan am

Muhafandi Muhamad
Disember 7, 2016 08:53 MYT
Sultan Muhammad V dijadual berangkat tiba di ibu negara pada pagi 13 Dis bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-244 (Khas). - Gambar fail
Kerajaan Kelantan mengumumkan cuti peristiwa pada 13 Disember ini bagi memberi peluang kepada rakyat Kelantan mengiringi dan meraikan bersama keberangkatan Sultan Kelantan, Sultan Muhamad V ke Kuala Lumpur sempena istiadat melafaz dan menandatangani surat sumpah Yang Dipertuan Agong ke-15.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menjelaskan cuti tersebut diumumkan sebagai tanda gembira di atas perlantikan tuanku sebagai Yang Dipertuan Agong.
“Pada 13 Disember sebagai meraikan kebawah Duli secara rasmi ke Istana Negara sebagai Yang diPertuan Agong ke-15, sebagai meraikan. Kita hendak ramai rakyat Kelantan seperti penghulu, kakitangan kerajaan, berada di lapangan terbang di sini. Sekarang kami sudah buat persiapannnya seperti yang diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Sementara itu katanya, Pemangku Sultan Kelantan akan dimasyhurkan di Istana Negeri pada Khamis.
Katanya rakyat Kelantan disaran untuk mengiringi keberangkatan Sultan Muhamad ke-5 ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu pada 13 Disember nanti.
#Datuk Ahmad Yakob #menteri besar kelantan #Sultan Kelantan #Sultan Muhamad V #Yang Dipertuan Agong ke-15