[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Kelayakan BUDI95: Ini 12 perkara rakyat perlu tahu

Nik Nuur Azam Shah 24/09/2025 | 11:19 MYT
Setiap rakyat Malaysia yang layak boleh membeli RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan. Baki akan diperbaharui setiap awal bulan. - Gambar hiasan
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Isnin mengumumkan semua warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak secara automatik untuk membeli RON95 pada harga RM1.99, sehingga 300 liter sebulan, bermula 30 September.

Berikut adalah 12 perkara yang rakyat perlu tahu mengenai kelayakan, berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh Kementerian Kewangan.

1. Siapa yang layak?

Semua warganegara Malaysia dengan lesen memandu aktif. Ini termasuk lesen percubaan (CDL/PDL) (Kelas kenderaan A1, D dan DA, A, B, B1, B2, C dan ke atas) dan lesen belajar memandu (LDL) bagi kelas A, B, B1, B2, C dan ke atas. Pemegang MyKad diperlukan untuk pengesahan.

2. Bagaimana cara semak kelayakan

Layari www.budimadani.gov.my mulai 25 September 2025. Klik “BUDI MADANI RON95” → “Semak Kelayakan Individu” → masukkan nombor MyKad.

3. Adakah RON95 percuma?

Tidak. Kelayakan bermaksud anda membeli RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, lebih murah daripada harga tanpa subsidi (sekitar RM2.60). Pengalaman isi minyak tetap sama, cuma liter tambahan diterima.

4. Berapa jumlah subsidi setiap individu

Setiap rakyat Malaysia yang layak boleh membeli RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan. Baki akan diperbaharui setiap awal bulan.

5. Kenapa had 300 liter?

Purata penggunaan rakyat hanya 80 liter/bulan, tapi had 300 liter ditetapkan untuk menampung variasi penggunaan dan elak penyalahgunaan, termasuk penyeludupan atau penggunaan komersial besar-besaran.

6. Bagaimana jika ada lebih daripada satu kenderaan?

Kelayakan adalah per individu, bukan per kenderaan. Memiliki banyak kereta tidak menambah jumlah subsidi.

7. Boleh isi minyak melebihi had?

Selepas 300 liter, anda boleh membeli petrol pada harga pasaran tanpa subsidi. Baki kelayakan baharu akan diperbaharui bulan berikutnya.

8. Berapa harga RON95 tanpa subsidi?

Ditentukan oleh Mekanisme Harga Automatik (APM) mengikut pergerakan pasaran. Kerajaan memastikan turun naik harga tidak terlalu melampau.

9. Boleh guna MyKad isteri/ keluarga untuk satu kereta?

Ya, setiap pemilik MyKad boleh isi kenderaan sama, tetapi pemilik MyKad mesti hadir. Menggunakan MyKad orang lain adalah salah di sisi undang-undang.

10.cBoleh pinjam MyKad orang lain?

Tidak. Hanya boleh guna MyKad sendiri atau e-KYC yang sah. Pelanggaran boleh didenda.

11.cBaki subsidi boleh dibawa ke bulan depan?

Tidak. Siling kelayakan diperbaharui setiap awal bulan dan tidak boleh carry forward.

12. Bagaimana kelayakan BUDI95 pemandu e-hailing?

Kerajaan sedar e-hailing mungkin perlukan lebih subsidi. Perdana Menteri berkata, mereka dikecualikan daripada had terbabit serta boleh memohon untuk had lebih tinggi.




#BUDI95 #subsidi bersasar #harga RON95 #budi madani ron95