Rakyat Malaysia yang menjadi keldai dadah menggunakan Akta Kerahsiaan Australia untuk menghalang pihak berkuasa memaklumkan kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra tentang penangkapan mereka di lapangan terbang, dihadapkan ke mahkamah dan dihukum penjara.

"Kami tahu ramai rakyat Malaysia ditangkap kerana membawa masuk dadah ke negara ini, tapi mereka meminta pihak berkuasa supaya tidak memaklumkannya kepada kami kerana mereka tidak mahu saudara mara dan rakan mereka di tanah air tahu mereka menghadapi masalah," kata Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Eldeen Husaini Mohd Hashim dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

"Malah, di mahkamah pun, mereka boleh meminta agar nama mereka disembunyikan dengan berkata penyiaran gambar mereka semasa di mahkamah akan menyebabkan ibu bapa dan datuk nenek mereka yang sudah berusia lanjut menjadi tertekan atau menyusahkan kehidupan mereka apabila pulang ke Malaysia kelak," katanya.

Beberapa tahun lepas, kes dua wanita Malaysia, termasuk seorang ibu kepada empat anak, mendapat publisiti meluas di Malaysia apabila mereka dihukum penjara kerana membawa masuk dadah ke Melbourne.

Keldai dadah, yang sesetengahya hanya dibayar sebanyak RM3,000, kini dinasihati dalang mereka di Malaysia supaya mendapatkan perlindungan daripada Akta Kerahsiaan Australia agar tiada maklumat tentang penangkapan atau hukuman yang dikenakan terhadap mereka disampaikan kepada suruhanjaya tinggi itu.

"Sebab itulah kami tidak tahu jumlah sebenar mereka yang meringkuk di penjara kerana kebodohan mereka membawa masuk dadah ke Australia," kata Eldeen Husaini.

"Ketika di Malaysia, keldai dadah ini dipesan perkara yang perlu mereka beritahu kepada kastam dan polis Australia sekiranya mereka dikesan membawa masuk barangan terlarang.

"Australia menjadi sasaran utama bagi membawa masuk dadah bukan kerana nilai dolarnya yang tinggi; sebab utamanya ialah undang-undang Australia tidak memperuntukkan hukuman berat dan lebih longgar berbanding undang-undang Malaysia.

"Sebab itulah orang berani berjudi untuk datang ke Australia," kata Eldeen Husaini.

Beliau berkata sehingga kini pada tahun ini, suruhanjaya tinggi itu hanya menerima dua laporan tentang rakyat Malaysia yang ditahan kerana kesalahan berkaitan dadah, walaupun pihaknya tahu jumlah mereka jauh lebih banyak daripada itu.

"Kami mendapat tahu bahawa lapangan terbang Sydney, Melbourne dan Perth menjadi pintu masuk utama bagi keldai dadah. Kami bertanggungjawab menyediakan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang menghadapi masalah, tapi jika mereka tidak mahu memaklumkan kepada kami, tidak banyak yang boleh kami lakukan untuk menolong mereka.

"Mereka lebih suka menghubungi pertubuhan kebajikan Australia, termasuk untuk mendapatkan bantuan guaman, bagi membela nasib mereka," katanya.

Eldeen Husaini berkata satu perkara menarik ialah kebanyakan wanita yang menjadi keldai dadah menyalahkan teman lelaki mereka, selalunya warga Afrika, kerana meminta mereka membuat perjalanan berbahaya itu; tapi, mereka tidak tahu nama atau alamat sebenar teman lelaki mereka itu untuk membolehkan polis Malaysia menjalankan siasatan.

"Kebanyakan keldai dadah ini ditipu penjenayah tidak berhati perut ini, yang langsung tidak berasa apa-apa sekiranya orang suruhan mereka yang masih muda itu ditangkap atau dihukum penjara," katanya.

Eldeen Husaini berkata pihak berkuasa Australia sentiasa bersedia untuk mencegah penyakit ini dan usaha sedang dipertingkat untuk berkongsi maklumat serta hasil risikan antara polis dan kastam dari kedua-dua negara.

"Kami menyambut baik sekiranya suruhanjaya kami dimaklumkan dengan secepat mungkin tentang penangkapan seseorang rakyat Malaysia berhubung apa jua kesalahan atau tuduhan," katanya.

Eldeen Husaini berkata jumlah dadah paling banyak dibawa masuk ke Australia dalam tempoh beberapa tahun ini ialah 15kg iaitu pada 2011, di lapangan terbang Sydney dan dua rakyat Malaysia sedang menunggu untuk dibicarakan berhubung kes itu.