SEPANG: Kementerian Pengangkutan mengesahkan kelewatan penerbangan Batik Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat lalu berpunca daripada cuaca buruk.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata laporan penuh berhubung kelewatan tersebut telah diterima,  di mana pesawat berkenaan terpaksa dilencongkan ke Langkawi.

Jelas Ahli Parlimen Seremban itu lagi, sebaik sahaja mendarat di Langkawi, juruterbang telah melepasi jam penerbangan mereka dan kru baharu perlu dihantar ke Langkawi.

"Maka ia menyebabkan kelewatan selama beberapa jam.

"Semua ini bukan alasan tetapi sebahagian kelewatan tidak dapat dielakkan. Kami berharap dari segi pengendalian penumpang dan komunikasi di lapangan terbang, ia boleh ditambah baik pada masa akan datang," katanya dalam sidang media selepas majlis pengumuman tambang rendah tetap AirAsia di sini pada Rabu.

Semalam, Loke menggesa Batik Air memohon maaf dan memikul tanggungjawab terhadap insiden berkenaan.

Susulan itu, Batik Air, yang sebelum ini dikenali sebagai Malindo Air menzahirkan rasa kesal mengenai kelewatan tersebut, dan akan menghubungi semua penumpang yang terkesan bagi menyampaikan baucar istimewa secara percuma.

Loke menambah, penumpang boleh menyalurkan aduan mereka  Suruhanjaya Penerbangan Malaysia  (Mavcom) jika berdepan sebarang masalah

"Mengenai bayaran balik, saya tidak pasti jika untuk kelewatan ia adalah sebahagian daripada syarat.

"Kami mempunyai sistem dan pihak berkuasa yang bertanggungjawab. Mavcom ialah platform atau saluran yang tepat untuk mereka membuat aduan," ujar Loke lagi.