Kelewatan visa: Arab Saudi bagi jaminan tambah kakitangan, kerja sepanjang minggu

Israr Khalid
Ogos 4, 2017 13:19 MYT
Setakat ini, 178 orang daripada keseluruhan 229 bakal jemaah berdepan cabaran visa sudah berlepas ke Tanah Suci. - Gambar hiasan
Lembaga Tabung Haji (TH) terus komited untuk menyelesaikan masalah kelewatan visa bakal haji yang berbaki lagi 51 orang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Johan Abdullah memberitahu, sudah bertemu Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Fahad bin Abdullah Al-Rashid pada siang Jumaat untuk membincangkan perkara tersebut.
"Pihak Arab Saudi memberi jaminan bahawa mereka akan menambah bilangan kakitangan dan bekerja sepanjang minggu bagi mempercepat kerja memproses visa," katanya dalam sidang media di Kompleks TH Kelana Jaya di sini hari ini.
Katanya setakat ini, 178 orang daripada keseluruhan 229 bakal jemaah berdepan cabaran visa sudah berlepas ke Tanah Suci.
Sekali lagi beliau menyatakan bahawa permasalahan yang berlaku adalah kerana peningkatan tinggi jumlah jemaah haji berbanding sebelum ini.
Jemaah haji Malaysia bagi musim 2017/1438H adalah seramai 30,200 orang, memenuhi kuota terbaharu yang dibenarkan kerajaan Arab Saudi bermula tahun ini.
Ia peningkatan 2,800 orang berbanding kuota sebelum ini iaitu 27,000 orang.
#Arab Saudi #Haji #johan abdullah #Media #Tabung Haji #Visa