[TERKINI] Sistem Pendidikan Malaysia Berubah Bermula 2027: Darjah Satu Umur 6, Penilaian Murid Tahun 4 & Tingkatan 3 – Ini Perkara yang Ibu Bapa WAJIB Tahu
MALAYSIA

Kelodak lombong punca pencemaran sungai di Jambatan Sengkela - JAS

Bernama 20/01/2026 | 14:32 MYT
Pencemaran Sungai Lipis di Jambatan Sengkela, Raub yang tular dalam media sosial semalam, disebabkan pelepasan kelodak dari kolam takungan di kawasan operasi perlombongan bijih besi di Hulu Sungai Bekil. - Foto Sinar Harian
KUANTAN: Pencemaran Sungai Lipis di Jambatan Sengkela, Raub yang tular dalam media sosial semalam, disebabkan pelepasan kelodak dari kolam takungan di kawasan operasi perlombongan bijih besi di Hulu Sungai Bekil.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang Zakaria Ahmad @ Mohd berkata berdasarkan pemeriksaan di sepanjang Sungai Lipis, hanya air Sungai Bekil yang terletak berdekatan kawasan lombong didapati berwarna keruh.

"Kejadian limpahan kelodakan ke Sungai Bekil ini turut disahkan oleh pengusaha lombong," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga mendapati keadaan sungai telah kembali pulih.

Zakaria berkata pihaknya telah melaksanakan ujian pensampelan di tapak (in situ) di sepanjang Sungai Lipis dan mendapati kadar kekeruhan air sungai ialah 75.48 Unit Kekeruhan Nephelometric (NTU) serta melebihi had 50 NTU bagi kelas II bagi sumber air.



JAS-PENCEMARAN 2 (AKHIR) KUANTAN



"Bacaan skala pH adalah 7.34 dan oksigen terlarut (DO) sebanyak 7.47 miligram per liter adalah normal bagi kehidupan akuatik," katanya.

Selain itu, beliau berkata hasil siasatan berkenaan akan dimaklumkan kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Pahang untuk tindakan lanjut agensi terbabit.

Berdasarkan rekod, tiada projek perlombongan bijih besi yang diluluskan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) di Daerah Raub.

"Aktiviti perlombongan sedia ada yang diluluskan pajakan melombong sebelum 2015 adalah tidak tertakluk kepada keperluan Laporan EIA di bawah Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

-- BERNAMA


#pencemaran sungai #Sungai Lipis #Jambatan Sengkela #kelodak