Keluarga Altantuya dibenar mulakan semakan kehakiman berkaitan afidavit Azilah Hadri

Afidavit tambahan itu antara lain mengandungi pernyataan Azilah bahawa dia mendapat arahan daripada 'pihak atasan' untuk menjalankan 'operasi sulit' bagi 'membunuh dan menghapuskan si mati'. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan keluarga mendiang Altantuya Shaariibuu memulakan prosiding semakan kehakiman supaya polis menyiasat afidavit tambahan dan akuan bersumpah seorang bekas pegawai polis yang terlibat dalam kes pembunuhan model Mongolia itu.
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi membenarkan keluarga mendiang Altantuya Shaariibuu memulakan prosiding semakan kehakiman bagi menggesa siasatan terhadap afidavit tambahan dan akuan bersumpah bekas pegawai polis Azilah Hadri yang mendakwa menerima arahan daripada 'pihak atasan' untuk membunuh mangsa.
- Permohonan difailkan oleh bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev, yang menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah JSJ, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden, turut memohon perintah mandamus agar siasatan dilengkapkan dalam tempoh sebulan dan statusnya dimaklumkan dalam masa tujuh hari.
- Afidavit dan akuan bersumpah Azilah digunakan dalam permohonan semakan hukuman mati yang akhirnya digantikan dengan penjara 40 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Oktober 2024.
Pada 25 Ogos lepas, bapa mendiang iaitu Dr Shaariibuu Setev memfailkan permohonan itu dengan menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Shaariibuu memohon deklarasi bahawa keputusan kesemua responden yang tidak memaklumkan kepada beliau status siasatan terkini yang dijalankan pada 2019 oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman terhadap kandungan afidavit tambahan dan akuan bersumpah diikrarkan Azilah Hadri adalah bertentangan dengan undang-undang.
Afidavit tambahan bertarikh 24 Sept 2024 dan akuan bersumpah bertarikh 17 Okt 2019 itu digunakan oleh bekas pegawai polis tersebut bagi menyokong permohonan semakan hukuman mati terhadapnya di Mahkamah Persekutuan pada 10 Okt 2024.
Kedua-dua dokumen antara lain mengandungi pernyataan Azilah bahawa dia mendapat arahan daripada 'pihak atasan' untuk menjalankan 'operasi sulit' bagi 'membunuh dan menghapuskan si mati'.
Shaariibuu selaku pemohon berkata sekiranya siasatan terhadap afidavit tambahan dan akuan bersumpah itu masih berjalan, beliau memohon perintah mandamus agar siasatan dilengkapkan dalam tempoh sebulan dari tarikh perintah mahkamah.
Turut dimohon perintah mandamus agar kesemua responden memaklumkan secara terperinci status terkini siasatan yang dijalankan oleh responden kedua (Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman) terhadap kandungan kedua-dua dokumen dalam tempoh tujuh hari dari tarikh keputusan mahkamah.
Shaariibuu juga berkata jika kesemua responden memutuskan untuk mengklasifikasikan kertas siasatan sebagai 'Tiada Tindakan Lanjut,' beliau mahukan alasan mengapa tindakan itu diambil.
Pada 10 Okt 2024, Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman mati terhadap Azilah dengan pemenjaraan selama 40 tahun dan 12 sebatan bagi kesalahan membunuh Altantuya selepas membenarkan permohonan semakan yang difailkan oleh bekas pegawai polis itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami