IPOH: Dahulunya keletah kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun ini sering mencuit hati ibu bapanya, namun situasi kini tidak lagi sama apabila dia disahkan menghidap barah tulang atau osteosarkoma sejak Jun lalu.

Setelah disahkan menghidap barah sejak empat bulan lalu, Winnie Wong Yan Yee beransur lemah, di samping pergerakannya yang terbatas dan memerlukan penjagaan rapi daripada keluarga.

Malah penyakitnya itu turut mengakibatkan dia tidak dapat meneruskan sesi persekolahan, sama seperti kanak-kanak sebayanya.

Sudah tentu keadaan itu meresahkan keluarga berkenaan khususnya Lew Sook Kuan, 32, iaitu ibu kepada kanak-kanak tersebut.

Ketika ini, mereka memerlukan bantuan perubatan sebanyak RM250,000 bagi menampung kos rawatan termasuk kimoterapi bagi pembedahan yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi.

"Penyakit itu dikesan selepas anak saya mula mengadu sakit kaki pada awal Jun lalu, kemudian kami bawa dia ke ke Klinik Kesihatan Menglembu untuk pemeriksaan.

"Dia kemudian jalani Magnetic Resonance Imaging (MRI) di sebuah hospital pakar di Ipoh, setelah itu disahkan ada ketumbuhan pada bahagian bawah lutut kanan.

"Kami membuat keputusan untuk meneruskan rawatan bagi pembedahan membuang sel ketumbuhan itu di sebuah pusat perubatan di Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita ketika kunjungan di rumahnya di Taman Kledang, Menglembu, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Menglembu, Steven Chaw Kam Foon.

Ujar Sook Kuan lagi, keluarganya tidak mampu menampung kos rawatan tersebut, ditambah dengan suaminya, Wong Shyh Jye,35, hanya bekerja sebagai pemandu lori.

Manakala dia pula sebagai suri rumah sepenuh masa.

"Sebelum ini Winnie sudah menjalani dua sesi kimoterapi, selepas ini pula bakal menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan itu.

"Kos rawatan kimoterapi dan pembedahan sudah ditanggung insurans, bagaimanapun rawatan susulan memerlukan kira-kira RM200,000 lagi, yang itu memang kami tidak mampu," katanya lagi.

Dalam pada itu, Kam Foon ketika ditemui berkata, beliau menerima aduan mengenai masalah keluarga itu menerusi talian pusat khidmat.

Justeru itu katanya, beliau telah membuat semakan dengan pusat perubatan di Selangor bagi mengesahkan perkara berkenaan.

"Pusat khidmat kami membuka tabung bagi mengumpulkan dana untuk membiayai kos perubatan yang diperlukan, kita bantu apa yang patut untuk meringankan beban kanak-kanak ini," katanya lagi.

Orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan boleh menghubungi pusat khidmat di talian 05-2810608.