KOTA KINABALU:Setiap keluarga yang terjejas akibat banjir dan fenomena air pasang besar di Sabah akan menerima bantuan wang ihsan RM500 bagi membantu meringankan beban mereka, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata bantuan itu akan diagihkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan diselaraskan Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Pejabat Daerah yang terlibat.

Beliau berkata, selain itu, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah dan NADMA juga akan menyalurkan bantuan makanan bermasak kepada semua mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Setiap ketua isi rumah yang dipindahkan ke PPS juga diberikan bantuan bakul makanan bernilai RM200," katanya menerusi kenyataan di sini malam ini.

Hajiji berkata dalam menghadapi bencana banjir dan air pasang besar semasa COVID-19, kerajaan negeri mahu semua pihak terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19.

"Kerajaan negeri juga menasihatkan agar semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa," katanya.