MALAYSIA

Keluarga tuntut keadilan buat Zulfan Iqbal

Sinar Harian 02/08/2025 | 01:00 MYT
Dari kiri, Hafiz, Zaiful dan Sullaila ketika ditemui di kediaman mereka di Kota Kemuning, Shah Alam, semalam. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Peguam kepada keluarga Allahyarham Muhammad Zulfan Iqbal Zaiful, 17, yang maut akibat lemas ketika menjalani aktiviti pemulihan selepas latihan bola sepak di sebuah sekolah sukan akan menghantar notis tuntutan (LOD) kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Peguam keluarga, Hafiz Norkhan berkata, notis itu dijadualkan dihantar pada Khamis depan sebagai langkah pertama sebelum tindakan saman sivil difailkan secara rasmi selepas tempoh tujuh hari.

Menurutnya, LOD itu dikemukakan kepada lima pihak iaitu Menteri Pendidikan, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Ketua Pengarah Pendidikan, Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) dan jurulatih terlibat bagi mendapatkan penjelasan rasmi berhubung kejadian yang menimpa Allahyarham Muhammad Zulfan.

“LOD ini dibuat kerana sehingga kini, masih tiada satu pun jawapan balas daripada pihak atasan kementerian.

“Satu-satunya maklum balas hanya datang daripada Timbalan Nazir Sekolah yang memaklumkan siasatan sedang dijalankan oleh Unit Integriti KPM,” katanya ketika sidang media di Kota Kemuning di sini semalam.

Beliau memberitahu, kementerian juga didapati gagal mematuhi beberapa Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) iaitu SPI 4/1991, SPI 20/1998 dan SPI 7/2011 yang mewajibkan laporan kemalangan dikemukakan dalam tempoh tujuh hari selepas kejadian.

“Sudah lebih lima bulan berlalu, tetapi keluarga masih belum menerima sebarang makluman rasmi.

"Ini bukan kes buli atau salah laku pelajar, sebaliknya ia berlaku ketika latihan rasmi di bawah seliaan jurulatih,” tegasnya.

Ujar Hafiz, SPI menyatakan dengan jelas maklum balas berhubung sesuatu insiden mesti dikemukakan dalam masa tujuh hari selepas kejadian.

Mengulas lanjut, Hafiz berkata, Allahyarham Muhammad Zulfan diarahkan menjalani aktiviti rehabilitasi di kolam terjun berkedalaman lima meter selepas tamat sesi latihan bola sepak.

"Ini bukan latihan lazim kerana ia membahayakan dan tidak termasuk dalam mana-mana modul latihan bola sepak.

“Malah, hanya seorang jurulatih berada di lokasi ketika itu dan tindakan menyelamat hanya berlaku kira-kira 10 hingga 15 minit selepas kejadian,” katanya.

Jelas beliau, pihak keluarga akan menuntut pampasan dan ganti rugi atas kecuaian serta kegagalan mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan oleh kementerian sendiri.

Menyentuh kesan insiden itu terhadap keluarga, Hafiz menyifatkan Allahyarham sebagai anak harapan keluarga yang sentiasa ceria dan tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku sebelum kejadian.

“Arwah adalah anak yang sangat dibanggakan keluarga, namun selepas kejadian berlaku keluarganya hilang arah dan semangat.

"Tekanan emosi itu amat nyata dan ia lebih menyakitkan apabila tiada sebarang penjelasan diberikan pihak kementerian.

"Malah, sebelum kejadian ketika arwah pulang ke kampung, dia kelihatan sangat ceria.

"Tiada sebarang petanda mencurigakan, namun harapan keluarga terhadap masa depan arwah musnah sekelip mata,” ujarnya.

Beliau berkata, meskipun isu itu telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Dr Radzi Jidin di Dewan Rakyat, keluarga tetap berasa seolah-olah dipinggirkan.

“Perkara itu sedikit sebanyak mengubat perasaan keluarga, namun kesedihan mereka saya percaya akan kekal selamanya,” tambahnya.

Sementara itu, bapa kepada arwah, Zaiful Ibrahim, 53, berkata, dia dan isterinya, Sullaila Mahmud, 51, hanya menuntut pembelaan sewajarnya atas kehilangan anak keempat daripada lima beradik itu.

Zaiful berkata, mereka masih menanti tindakan bersesuaian daripada pihak bertanggungjawab, malah kecewa apabila tiada permohonan maaf atau penjelasan telus diberikan setakat ini.

“Anak saya masuk sekolah sukan untuk cari masa depan, tapi akhirnya jadi begini,” katanya sebak.

Menurutnya, pemantauan terhadap sekolah sukan perlu diperketat dan sebarang kelemahan yang wujud harus segera diperbaiki bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

“Mereka ada datang ziarah selepas arwah meninggal, tapi sekadar itu sahaja. Tiada permohonan maaf rasmi atau sebarang penjelasan.

“Saya tak berdendam, saya maafkan, tapi perkara ini tetap perlu ada pembelaan sewajarnya,” katanya.

Zaiful turut berharap pihak sekolah dan kementerian mengambil serius tragedi yang menimpa anaknya memandangkan ia melibatkan nyawa dan masa depan pelajar.

“Semua pihak terutama sekolah, tolonglah ambil serius perkara ini. Jangan bila dah berlaku, semua senyap, apatah lagi kami kehilangan anak, harapan keluarga,” tambahnya. - Sinar Harian




#lemas #Muhammad Zulfan Iqbal #sekolah sukan #Kementerian Pendidikan #aktiviti pemulihan #latihan bola sepak